'Saya masih dengan Pas dan sokong Pakatan Harapan'
GEORGETOWN - Adun Permatang Pasir, Datuk Salleh Man Mat Aji menafikan
desas desus kononnya dia akan meninggalkan Pas dan menyertai Parti
Amanah Negara (Amanah)
Menurutnya, beliau akan tetap dengan parti Islam itu malah beliau merupakan ahli seumur hidup Pas.
“Saya menafikan akan meninggalkan Pas dan akan sertai Amanah. Saya
adalah Adun Pas dan ahli kerajaan. Saya akan bersama dengan Kerajaan
Pulau Pinang,” katanya kepada media ketika ditemui di luar dewan di
Sidang Dun, hari ini.
Menjawab soalan berhubung pendirian Pas yang tidak mahu lagi
bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Harapan, Salleh Man berkata, beliau
tidak masuk campur pendirian parti dalam isu berkenaan.
“Itu pendirian mereka, saya tidak boleh komen. Saya tetap Adun
Permatang Pasir. Saya akan terus berkhidmat dengan rakyat sebagai Adun
dan juga ahli Pas.
“Berhubung kenyataan Pas Permatang Pauh, saya terima seadanya keputusan
itu. Seperti yang saya katakan, saya akan terus berkhidmat di Permatang
Pasir dan seluruh masyarakat dengan semangat serta komitmen yang
terbaik, InsyaALLAH,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Putus hubungan dengan Salleh Man]
Salleh Man berkata, sehingga sekarang hubungannya dengan Pas negeri tidak bermasalah dan masih baik.
“Hubungan saya dengan Pas negeri, Alhamdulillah, (hubungan yang) baik,
tiada masalah. Saya masih ahli Pas, itu pasti. Berhubung sokongan saya
terhadap Kerajaan Pakatan Harapan, itu biasa lah. Dahulu Pakatan Rakyat
Pulau Pinang, sekarang Kerajaan Pakatan Harapan.
“Macam kerajaan Malaysia, guna pelbagai slogan seperti Rakyat
Didahulukan dan sekarang Sehati Sejiwa. Slogan saja lain, pentadbiran
kerajaan tetap yang sama. Apa juga nama yang dinamakan, saya tetap di
bawah kerajaan negeri yang sama,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak pernah berniat untuk meletak jawatan sebagai ahli Pas dalam Kerajaan Pulau Pinang.
“Isu itu tidak pernah timbul, saya tegaskan sekali lagi, saya akan tetap dengan Pas untuk selama-lamanya,” katanya.
Sebelum ini, Pas Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan
memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh Man apabila diputuskan dalam
mesyuarat Pas kawasan berkenaan yang dibuat Isnin lalu.
Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, keputusan itu dibuat berikutan
kenyataan Salleh Man dengan jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan
Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan bertentangan dengan
pendirian Pas pusat.
0 orang berkata:
Post a Comment