SHAH ALAM - Pas Selangor tidak pernah berbincang dengan Umno untuk
 membentuk kerajaan perpaduan seperti didedahkan bekas Naib Presiden 
Pas, Datuk Husam Musa.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tidak
 ada keperluan untuk Pas bekerjasama dengan Umno membentuk kerajaan
 perpaduan sedangkan mereka sebuah parti yang sudah tidak diinginkan oleh
 rakyat lagi.

"Tidak ada keperluan untuk bentuk kerajaan perpaduan dengan Umno sebab
 kita (Pas) terkawal sekarang ni dan orang pun dah tak mahu dah dengan Umno.

"Kerajaan perpaduan memang kita tak tahu dan tidak bersetuju untuk 
bergabung dengan Umno. Itu kenyataan Husam, tanya dia lah,saya ni 
Pesuruhjaya pun tak tahu" katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan 
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Husam dedah niat Abdul Hadi?]

Beliau yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan ketika ini Umno berada
 dalam keadaan tertekan tidak ada sebab untuk membentuk perpaduan 
dengan parti sudah tidak diterima rakyat.

Berhubung hasrat BN Terengganu meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul 
Hadi Awang menjadi Penasihat BN negeri itu, Iskandar menyifatkan memberi
 nasihat dan kritikan kepada parti lawan ialah rencah politik yang normal.

"Dalam Dun kita beri nasihat dan kritik BN tiada masalah. Itu perkara biasa
 dalam perjalanan kerajaan.
"Ketika krisis menteri besar sebelum ini pun ada dibangkitkan  kerajaan 
perpaduan tapi Pas tak pernah bincang dengan Umno," katanya.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali juga memberi respons sama iaitu tiada
 perbincangan ke arah itu dan beliau tidak tahu mengenai dakwaan Husam.

Baru- baru ini Husam dalam ceramahnya secara terbuka mengaku Abdul 
Hadi mengaku pernah merancang kerjasama dengan Umno bagi menubuhkan
 kerajaan perpaduan di Selangor.

Katanya, "konspirasi" antara dua parti Melayu itu menjadi punca perpecahan 
dalam Pas sebelum ini sehingga melahirkan kumpulan serpihan yang membentuk
 parti baharu Parti Amanah Negara (Amanah).