PETALING JAYA - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menerima
tamparan apabila DAP Selangor memberi kata dua untuk memecat wakil
 rakyat Pas dari pentadbirannya.

Ini berikutan seorang perwakilan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh
 memecat wakil rakyat Pas daripada Kerajaan Selangor atau DAP sendiri akan
 keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong berkata, Pas sudah memungkiri
 janji dalam Pakatan Harapan dan mahu pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh
 kepada Mohamed Azmin untuk pecat wakil rakyat Pas atau DAP keluar dari
pentadbiran kerajaan negeri.

"Sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat Pas Selangor, pimpinan DAP
harus tidak teragak-agak keluar daripada Kerajaan Selangor.

"Bagaimanapun terpulang kepada pimpinan tertinggi DAP menetapkan tempoh
 masa kepada Azmin, tetapi ia harus dilaksanakan dengan segera," katanya
semasa sesi bahas dalam Konvensyen Tahunan Negeri Selangor 2015 di Petaling
 Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, DAP Selangor mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha
 Agungnya, Lim Guan Eng berhubung keputusan parti itu yang mahu bertanding
merebut kerusi Pas pada PRU14.

Keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira kedudukan DAP yang masih
 bersama dalam pentadbiran Kerajaan Selangor untuk meneruskan perjuangan
Pakatan harapan

Guan Eng berkata, tanpa DAP, Pakatan Harapan tidak boleh dilaksanakan,
sebab itu DAP kena ada dalam Selangor.

"Kita kena pastikan beberapa dasar yang dibuat memihak kepada rakyat Selangor,
” katanya

Kelmarin media melaporkan, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengumumkan
 persiapan meletakkan calon dan bertanding di lapan kerusi Dun di Selangor yang
 kini dipegang oleh wakil rakyat Pas.

Lapan kawasan itu Dun itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras,
Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat
.