Hanya ahli farmasi berlesen boleh jual cecair vape
KUALA LUMPUR - Cecair perisa e-rokok yang mengandungi nikotin hanya
boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan
berdaftar, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata, itu merupakan keputusan terbaru kementerian
dalam usaha mengawal penggunaan dan penjualan e-rokok di negara ini.
"Cecair e-rokok yang mengandungi nikotin dikehendaki didaftarkan di
bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan
Dadah 1952.
"Ia hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal
perubatan berdaftar dan perlu direkodkan," katanya dalam satu kenyataan
yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas berkaitan e-rokok
di sini, hari ini.
Katanya lagi mengikut Akta Racun 1952, penjualan nikotin oleh lain-lain pihak adalah salah di sisi undang-undang.
Kementerian pada 30 Oktober lalu, berkata kabinet telah mengeluarkan keputusan untuk tidak mengharamkan e-rokok atau vape.
Minggu lalu, kementerian telah memulakan operasi merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata, satu
jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengendalikan isu berkaitan e-rokok
yang dipengerusikan oleh Dr Noor Hisham. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment