ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan
 bahawa beliau masih ahli Pas dan tidak menyertai Parti Amanah Negara
 (Amanah) seperti yang hangat diperkatakan pada masa kini.

Beliau berkata, penyertaannya dalam banyak program anjuran Pakatan
 Harapan di Kedah adalah atas dasar rakan seperjuangan.

“Saya hadir (program Pakatan Harapan) adalah sebagai ahli parlimen kepada
 anjuran program yang diadakan dalam kawasan Pokok Sena.

“Ini bukan gimik untuk saya masuk Amanah, saya masih ahli Pas. Sejak 
sebelum PRU sampai hari ini, nak menang pun kami bersama menggerakkan
 usaha atas nama Pas dan DAP,” katanya selepas menghadiri program 
Kayuhan Gerek Anak Malaysia anjuran Pusat Komuniti Derga, di sini, semalam.

Menurutnya, kehadiran beliau dalam program anjuran DAP adalah dalam 
konteks pelbagai kaum dan agama, khususnya dalam kalangan generasi
 anak muda di Parlimen Pokok Sena.

“Saya tidak fikir kerana perbezaan ideologi politik kita harus bercanggah 
antara satu sama lain. Yang penting kita kena melihat soal kepentingan
 rakyat yang ada dalam kawasan kita,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk 
Seri Jamil Khir Baharom yang memfailkan saman terhadap Pengarah Pusat 
Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), Akmal Nasir 
berhubung isu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), 
beliau menyifatkan ia hak masing-masing.

“Itu adalah hak dia (Jamil Khir) untuk saman Now. Tapi sewajarnya pihak 
berkuasa melakukan penyiasatan terhadap Yapeim.

“Walaupun penafian dibuat dalam Parlimen, tetapi persoalannya ialah 
penyiasatan yang dilakukan. Sebab itu wajar bagi Jamil Khir dan dua orang
 berpangkat dalam jawatankuasa itu digantung tugas sementara sehingga 
siasatan selesai,” katanya.

Mahfuz berkata, ia bagi mengelak mereka daripada menggunakan kuasa 
untuk menyembunyikan dokumen dan menekankan pegawai berkenaan 

daripada menyerahkan apa-apa dokumen kepada pihak berkuasa
.