Mustapa hadir di Mahkamah Tinggi seawal 9.15 pagi bagi memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan membabitkan kes samannya yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
  
Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Husam terhadap Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkaitan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
  
Terdahulu, peguam Lew Cho Kang yang mewakili Mustapa memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana cuti sakit bermula semalam.
  
Lew yang mengemukakan sijil cuti sakit Muhammad Shafee kepada mahkamah turut memohon supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan ke tarikh lain.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin berkata perbicaraan kes itu yang beberapa kali tertangguh sebelum ini tidak sepatutnya ditangguhkan lagi kerana plaintif (Mustapa) hadir hari ini untuk memberi keterangan.
  
"Namun sekiranya peguam mahu kes hari ini ditangguhkan, saya akan mempertimbangkannya," kata hakim itu.
  
Mahkamah kemudiannya membenarkan penangguhan perbicaraan kes itu dan menetapkan 30 November untuk pengurusan kes manakala 27 Januari tahun depan ditetapkan untuk perbicaraan kes berkenaan.
  
Perbicaraan kes itu yang dijadualkan bersambung esok turut dilapangkan kerana Muhammad Shafee mempunyai satu kes lain membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Senator Datuk S. Nallakarupan di Mahkamah Tinggi di sini esok.
  
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohamad Fitri Khalis Ahmad, mewakili Husam.

Pada 7 Oktober lepas, mahkamah menetapkan dua hari bermula hari ini untuk perbicaraan penuh kes itu selepas pihak plaintif dan defendan gagal mencapai penyelesaian.
  
Pada 22 April 2013, Mustapa memfailkan saman terhadap Husam, yang ketika itu Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, parti Pas, Setiausaha Agung Pas yang juga pemegang permit akhbar Harakah Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang serta Pengarang http:/harakahdaily.net. Zulkifli Sulong dan Azmi Yusof sebagai defendan.
  
Dalam penyataan tuntutan, Mustapa mendakwa Husam, pada 23 Mac 2013, dalam ceramah politiknya di Tapak Expo Machang, Kelantan, mengeluarkan perkataan fitnah terhadap beliau berhubung saham FGVH.
  
Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, mendakwa bahawa pada 24 Mac 2013, Pas dan defendan lain menyiarkan ucapan Husam yang didakwa berbaur fitnah itu menerusi harakahdaily.net yang boleh diakses berjuta pengguna laman web.
  
Mustapa mendakwa kenyataan itu bermaksud beliau seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti dan menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin Umno. - Bernama