Angkasa kaji wujudkan Akta Pencemaran Cahaya
KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) sedang mengkaji untuk
mewujudkan Akta Pencemaran Cahaya bagi mengawal pencemaran cahaya di
negara ini, kata Ketua Pengarahnya, Dr Noordin Ahmad.
Beliau berkata, Angkasa ketika ini sedang menyediakan garis panduan
berhubung perkara itu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT)
yang bertanggungjawab mengawal selia limpahan cahaya akibat daripada
pembangunan bandar.
"Kita memang memerlukan akta ini dan pada masa ini, Angkasa sedang
bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana lampu
daripada bangunan dan lampu jalan sekarang ini di bawah seliaan mereka.
"Kami juga sedang memberi kesedaran kepada pihak berkenaan mengenai
pencemaran cahaya yang berpunca daripada cahaya lampu bangunan dan juga
lampu jalan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri tayangan perdana
filem "To Space and Back" dan sambutan Earth Hour di Planetarium Negara
di sini, hari ini.
Menurut Noordin pencemaran cahaya di negara ini baru memasuki tahap
serius dan jika tidak ditangani ia bakal menjejaskan bidang astronomi
negara.
"Kerja pencerapan di balai cerap di Planetarium Negara kini turut
terjejas ekoran pencemaran cahaya yang melampau di bandaraya Kuala
Lumpur.
"Di Planetarium Negara, kesannya ketara terutama kepada ahli astronomi
yang melibatkan balai cerap kami di sini tidak boleh berfungsi
sepenuhnya menyebabkan kami terpaksa membina satu balai cerap di Pulau
Langkawi pada 2006 untuk mengatasi masalah pencemaran cahaya," katanya.
Beliau berkata balai cerap yang dikenali sebagai Observatori Negara
Langkawi (ONL) juga bakal terjejas jika tiada kawalan dari segi
pengwujudan akta, ordinan atau garis panduan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment