Rayani Air boleh digantung jika langgar peraturan
KUALA LUMPUR - Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) mungkin berdepan
tindakan penggantungan operasinya jika ia gagal memenuhi peraturan
syarikat penerbangan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu
sedang membuat pemantauan rapi terhadap syarikat berkenaan berikutan
aduan orang ramai tentang kelewatan dan pembatalan penerbangannya serta
penggunaan pas masuk yang bertulis tangan.
"Kami akan siasat sekiranya laporan dikemukakan kepada kementerian.
Kami akan meneliti aduan seperti pembatalan penerbangan yang tidak
diganti. Itu suatu perkara serius.
"Malah, kami juga boleh menggantung perkhidmatan syarikat penerbangan
itu sekiranya ia tidak mematuhi arahan kami," katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Tiong Lai mengulas tentang aduan penumpang Rayani Air yang disebarkan dengan meluas dalam media sosial baru-baru ini.
Ditanya bagaimana Rayani Air boleh mendapat lesen operasi, beliau
berkata selagi syarikat itu memenuhi peraturan Jabatan Penerbangan Awam
(DCA), ia akan diberi lesen.
"Ini negara demokrasi, selagi syarikat penerbangan itu dapat memenuhi
syarat DCA, peraturan keselamatan dan pelan perkhidmatannya, kami akan
keluarkan lesen itu.
"Bagaimanapun, dengan tahap perkhidmatan yang disediakannya sekarang,
tidak memenuhi kehendak pengguna, tindakan boleh diambil terhadap
syarikat penerbangan itu," kata Tiong Lai. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment