Pas sudah ada calon PRK
TANAH MERAH - Calon Pas untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah
pun dinilai dan disenarai pendek oleh Majlis Syura Ulamak parti itu.
Ini sekali gus mengesahkan Pas telah membuat keputusan untuk bertanding pada dua PRK berkenaan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan
siapa calon daripada tiga nama untuk PRK Sungai Besar dan tiga nama
untuk PRK Kuala Kangsar itu yang bakal terpilih, akan diputuskan dalam
mesyuarat Pas Pusat, Ahad ini.
Menurutnya, kesemua calon yang tersenarai adalah anak tempatan Sungai
Besar dan Kuala Kangsar, mempunyai pelbagai latar belakang yang baik
serta berumur antara 40 hingga 60 tahun.
“Calon sudah ditapis oleh Majlis Syura Ulamak dan akan diputuskan Pas
Pusat yang dijangka bermesyuarat 22 Mei ini,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa kali ke-45 peringkat
negeri, di sini, semalam.
Ditanya kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru, Mohd Amar
berkata, parti itu terpaksa menghadapinya walaupun tetap mengharapkan
pertandingan satu lawan satu dengan BN.
“Keputusan kita (Pas) setakat ini, kita akan bertanding di kedua-dua
kawasan. Asasnya, pertama kerana kawasan ini kita telah lama bertanding
dan kedua, kita ada akar umbi yang kuat.
“Kalau berlaku tiga penjuru atau empat penjuru, kita terpaksa hadapi
dan tengok macam mana. Sebab kita minta parti lain hormati (keputusan
Pas bertanding) kerana ini kawasan tradisi (Pas).
“Dalam kerjasama kita dengan parti pembangkang lain, kita banyak
bertolak ansur. Dengan DAP dahulu dan dengan PKR, jadi kita minta parti
lain pun bertolak ansur dengan kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Parlimen Kuala
Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun, manakala penamaan calon 5 Jun dan
undi awal pada 14 Jun.
Dua kerusi Parlimen itu kosong setelah ahli parlimennya, Allahyarham
Datuk Noriah Kasnon dan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar
Wan Ahmad terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lalu.
2 orang berkata:
Bertanding sj lah tgok keaadaan utk pr yg seterusnya.ia pas pasca pan n 1mdb najib.mungkin ada perubahan pd penerimaan rakyat.jgn samakan semenanjung dgn serawak.org serawak mungkin masih byk yg perlu derma
klu dua parti pmbgkang brtanding besar harapan bn akn menang.
Post a Comment