Jumpa Dr M: 'Saya wakili ahli Parlimen PKR'
PUTRAJAYA - Ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin menegaskan
kehadirannya dalam pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad di sini, hari ini sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen
PKR yang lain.
Menurutnya, kehadirannya itu tidak perlu dispekulasikan meskipun
terdapat surat peringatan dari penjara ditulis bekas Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, baru-baru ini.
"Pertemuan hari ini adalah hasrat Tun Mahathir yang mahu bertemu dengan
ahli Parlimen pembangkang. Tentunya kehadiran saya untuk mewakili
rakan-rakan ahli Parlimen PKR kerana Pas hadir, DAP juga hadir dan
Amanah juga hadir.
"Saya fikir tidak perlu spekulasi perkara ini. Tidak perlu panjangkan
kerana kita sentiasa tahu, obor reformasi itu bagi kita...bagi saya
bermula dengan gerakan reformasi 1998," katanya kepada Sinar Online
ketika ditemui selepas sidang media bersama Mahathir di Yayasan
Kepimpinan Perdana, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menulis surat panjang lebar menegur pimpinan PKR
berhubung kerjasama parti itu dengan Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.
Namun menurut Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, dalam
pertemuan itu mereka membincangkan isu-isu politik semasa berkaitan
peranan ahli-ahli Parlimen.
"Ini tentunya tidak memberikan sebarang implikasi yang negatif terhadap
apa yang sedang kita usahakan. Saya percaya surat peringatan DS Anwar
itu pun jelas, bukan bermakna putus hubungan secara muktamad cuma
diminta kita tidak lari daripada fokus, agenda rakyat, reformasi dan
perubahan.
"Tentulah dalam pertemuan seperti ini, isu-isu itu dibincangkan.
Seperti disebut (Tun Mahathir), isu-isu berkaitan GST, harga minyak,
beban ekonomi. Jadi, ini perkara yang saya fikir tidak lari daripada
asas perjuangan PKR," katanya.
Katanya lagi, sebagai antara individu yang awal menandatangani
Deklarasi Rakyat, pihaknya sentiasa mengemukakan agenda reformasi
sebagai satu paksi dalam perjuangan mereka untuk buat perubahan.
Dalam pertemuan lebih satu jam itu, beberapa kelibat pemimpin DAP
kelihatan hadir namun pemimpin PKR, Amanah dan Pas hanya diwakili
seorang ahli Parlimen sahaja.
Kelihatan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dari Pas dan dari
Amanah pula ada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusoff Rawa.
3 orang berkata:
Mahfuz harum manis pi tu bkn atas nama pas hanya individu sj.Pas tak pernah lantik pin utk berjumpa tun m.ada paham ka.
Mahfuz harum manis pi tu bkn atas nama pas hanya individu sj.Pas tak pernah lantik pin utk berjumpa tun m.ada paham ka.
Masalahnya Mahfuz ni hanya ahli biasa.. jd dia tak layak wakil PAS pun..
Post a Comment