DAP desak Khairuddin tarik dakwaan
SHAH ALAM - DAP Selangor mendesak Setiausaha Pas Selangor itu, Mohd
Khairuddin Othman menarik balik tuduhan yang dilemparkannya terhadap
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Penolong Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San mendakwa kenyataan
dikeluarkan Khairuddin itu tidak berasas kononnya DAP tidak puas hati
Pas Selangor menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa),
memperkasakan institusi masjid dan memperjuangkan kewujudan Kolej
Integrasi Tahfiz di Selangor.
"Saya menyeru agar beliau menarik balik fitnahnya terhadap Guan Eng dan memohon maaf atas tuduhannya yang tidak berasas itu.
"Ucapan Guan Eng dalam Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 di Kuala
Lumpur pada 15 November lalu hanya menyentuh bahawa DAP perlu terus
kekal dalam kerajaan Selangor untuk memastikan Pas 'tidak buat jahat'
dan 'tidak melaksanakan dasar yang tidak baik' kepada rakyat negeri
itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Adun Bukit Tunku itu, menjelaskan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang
tersebut hanya memberi contoh situasi Pas di Kelantan yang terlibat
dalam skandal penerokaan balak di kawasan hutan simpan kekal.
"Beliau (Guan Eng) memberi contoh di Kelantan iaitu Adun Pas Kawasan
Salor, Datuk Husam Musa telah membongkarkan skandal pembalakan di
kawasan hutan simpan kekal telah menyebabkan musibah banjir di negeri
itu setahun yang lalu.
"Inilah perkara jahat yang disebut Guan Eng berlaku di negeri yang
dikatakan sebagai kubu kuat Pas itu, sehingga parti pembangkang Umno pun
tidak berdaya mendedahkan skandal yang serius ini," katanya.
Weng San memberi gambaran sekiranya DAP keluar dari Kerajaan Selangor,
sudah pasti mekanisme pemantauan terhadap kerajaan negeri itu akan
menjadi lemah, maka tiada sesiapa pun yang boleh menolak kemungkinan
berlakunya musibah yang sama di Selangor nanti.
"Inilah apa yang dinyatakan Guan Eng. Dimanakah beliau ada menyentuh
kenaikan elaun guru Kafa, pemerkasaan institusi masjid mahupun penubuhan
Kolej Intergrasi Tahfiz Selangor?
"Malahan dasar-dasar ini juga dipersetujui oleh DAP dan PKR kerana ia
merupakan sebahagian daripada dasar-dasar bersama dalam Manifesto
Pakatan Rakyat Selangor dalam PRU13. Sebagai seorang ahli politik dan
peguam bertauliah, Khairuddin pasti tahu bahawa kejujuran dalam berhujah
dan perbicaraan yang berdasarkan fakta ialah kualiti yang wajib ada,"
katanya.
1 orang berkata:
Lge sebut contoh.khairudin sebut contoh fair n squre la apa nak kecoh lg
Post a Comment