SHAH ALAM - Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama 
bertemu dengan pemimpin NGO pro pembangkang disifatkan sebagai
 tidak menghormati  tuan rumah, kata Setiausaha Veteran Umno, 
Datuk Mustapha Yaacub.

Beliau berkata, Obama patut lebih sensitif dengan perkembangan politik
 negara ini dengan menghormati pemimpin kerajaan terutamanya Perdana
 Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Veteran Umno kesal dengan sikap Obama yang tidak tahu
 menghormati tuan rumah Malaysia apabila beliau membuat 
keputusan untuk berjumpa dengan kumpulan pembangkang 
dan anti kerajaan ketika kehadirannya sebagai tetamu negara 
dan menjalankan tugas rasmi menghadiri Sidang Kemuncak 
Asean.

“Sikap seperti ini jelas menunjukkan ketua negara koboi itu mahu
 menunjukkan keangkuhannya dan tidak sensitif terhadap negara 
tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustapha turut mempersoalkan adakah perjumpaan Obama dengan
 kumpulan anti kerajaan itu sebahagian daripada tugas rasmi dalam
 lawatannya ke negara ini.