Pas kunci survival politik Selangor
SHAH ALAM – Tindakan Pas menolak cadangan Parti Amanah Negara (Amanah)
untuk menjalin kerjasama bukanlah kerana degil, sebaliknya rasional
kerana parti itu tidak akan berkompromi dengan gerakan yang jelas
mempunyai perjuangan berbeza.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd
Fuad Mat Jali berkata, Pas lebih senang dengan pendekatan bersendirian
kerana parti Islam itu yakin dengan ideologi dan perjuangan mereka.
“Pas tegas dan tidak mudah dilentur atau dicairkan Amanah, apatah lagi
DAP. Pas mempunyai keyakinan kuat dan teguh. Tidak mustahil mereka
bersendirian berdepan PRU14 dengan memperjuangkan kepercayaan yang
menjadi asas keutuhan parti itu.
“Amanah yang akan rugi. Mereka masih mencari tapak dan penyokong serta
letak duduk perjuangan dalam Pakatan Harapan. Bahkan DAP dah caturkan
kerusi bakal ditandingi. Jelasnya tiada kelebihan buat Amanah,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Fuad berkata, jika Pas bertoleransi dan terima cadangan Amanah,
mereka akan kembali ke zaman bersama PR. Sudah tentu Pas tidak mahu
mengorbankan perjuangan parti itu yang sentiasa dihalang DAP.
Menurutnya, Amanah masih kabur dalam perjuangan, sebab itu mereka
sangat perlukan Pas kerana parti akan sentiasa menjadi saingan hebat
buat parti serpihan itu.
“Tanpa penyertaan Pas dalam Pakatan Harapan adalah cabaran besar buat
Amanah. DAP awal-awal lagi dah cop lapan kerusi Pas untuk dicabar,.Jelas
sekali mereka tidak yakin dengan Amanah.
“Analisis membuktikan calon Pas mendapat undi besar dalam PRU13 kerana
faktor ideologi, matlamat dan calon. Perkara itu menjadi kekuatan Pas
sebab itu mereka tidak kisah bergerak solo,” katanya.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis
Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata,
beliau yakin Pas boleh bergerak sendirian di Selangor kerana kekuatan
dimiliki parti itu membuatkan Pakatan Harapan masih mengharapkan
kehadiran Pas.
“Walaupun PKR dan DAP kuat boleh bersama mereka (Amanah), namun Pas ialah parti yang banyak membantu mempertahankan Selangor .
“Umum maklum Pas ada jaringan jentera efisyen berbanding Amanah. Pas
mempunyai peranan penting dalam percaturan politik Selangor. Meskipun
DAP tidak akan senang jika Pas kembali, namun kelangsungan politik
memerlukan kerjasama utuh semua parti,” katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir mengingatkan Pas supaya sedar siapa musuh
sebenar mereka.
“Pas sepatutnya buka mata (dan sedar) musuh mereka ialah Umno-BN, bukan bekas rakan dalam PR. Saya harap Pas akan lembut hati.
“Apabila dah berkuasa sepatutnya kekalkan kuasa itu. Buat apa
bercakaran? Ia membuatkan rakyat meluat dengan keegoan pemimpin,”
katanya.
1 orang berkata:
Sebab Pas sedar dan buka mata lah Pas tak terima utk bersama pan.
Post a Comment