SHAH ALAM - Pemuda Amanah mengingatkan kerajaan BN supaya
tidak hipokrit dengan keputusannya untuk tidak mengharamkan penggunaan
 rokok elektronik atau vape sedangkan tindakan menyita kedai yang
 menjualnya masih berlaku.

Naib Ketua Politiknya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan drastik
 kerajaan itu hanya mengundang cemuhan anak muda yang majoritinya
 mengguna dan menjalankan perniagaan tersebut.
"Bermula dengan fatwa pengharaman vape oleh mufti, kemudian sokongan
 terbuka Datuk Seri Ismail Sabri terhadap pengguna vape.

"Tindakan kerajaan menyita kedai vape sebagaimana yang telah dikeluhkan
 oleh Haqim Arshad dan telah viral di laman sosial menunjukkan sikap 'bermain
 wayang' kerajaan dan rakyat semakin meluat seolah-olah mereka dipermainkan,"
 katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keluhan seorang peniaga, Haqim Arshad dalam akaun
 Facebooknya, semalam kerana tindakan pihak berkuasa yang merampas
barang jualan perisa vape miliknya.

Haqim turut memuat naik gambar kabinet kaca vape di premis perniagaannya
 yang kelihatan kosong selepas rampasan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan
 Malaysia.

Sehubungan itu, Shazni Munir juga mendesak kerajaan supaya berhenti bersikap
 hipokrit dalam isu penjualan vape dan menyatakan pendirian sebenar dalam isu itu.

"Senyap dengan fatwa mufti dan senyap-senyap menyita kedai-kedai vape
hakikatnya bukan tindakan yang digemari rakyat. Kerajaan harus jawab dan
 bertanggungjawab!" katanya lagi
.