SHAH ALAM - Umno Selangor menyangkal dakwaan bekas Naib Presiden
 Pas, Datuk Husam Musa bahawa parti itu merancang untuk membentuk
 kerajaan perpaduan dengan Pas di negeri ini.

Menafikan demikian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno
 Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tiada sebarang
 kerjasama terutamanya berkaitan politik wujud antara kedua-dua 
parti itu.

"Juga tiada sebarang pertemuan dibuat oleh kedua-dua parti dalam
 usaha mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang didakwa," 
katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'My 
Rezeki Festival' di sini, hari ini.

Dakwaan Husam itu didedahkan menerusi sedutan video rakaman 
ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi
 di Facebook Husam baru-baru ini.

Pas menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum 
ini menyifatkan dakwaan Husam itu tidak berasas kerana Pas hanya
 bekerjasama dengan Umno dalam  perkara yang menyentuh 
kepentingan negara dan rakyat sahaja. - Bernama