DAP Cawangan Pantai Sepang Putra dibubarkan
SEPANG - DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, di sini dibubarkan selepas
kesemua 25 ahli cawangan itu mengisytiharkan keluar parti hari ini.
Bekas setiausaha cawangan terbabit, N. Thanaletchumi berkata keputusan
itu dibuat selepas semua ahli cawangan tersebut hilang kepercayaan
kepada parti ekoran kegagalan kepimpinan tertinggi memberikan
perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Kami anggota DAP cawangan Pantai Sepang Putra sebulat suara
mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa hari ini, katanya pada sidang
media di sini.
Beliau mendakwa, pemimpin DAP hanya datang bertemu mereka ketika
memerlukan sokongan pada pilihan raya umum dan semasa pemilihan parti.
Menurut Thanaletchumi beliau sudah menghantar surat mengisytiharkan keluar DAP kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), semalam.
Beliau kemudiannya mengetuai bekas ahli parti itu menyertai Parti
Alternatif Rakyat (PAP), sebuah parti serpihan DAP dengan menyerahkan
borang keahlian kepada Setiausaha Agung parti, David Dass.
Pada majlis itu, selain membacakan ikrar menentang DAP, mereka turut
menggunting dan mematahkan kad keahlian serta baju DAP masing-masing
sebagai simbolik mereka sudah tidak bersama parti berkenaan. -Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment