Pakatan Harapan hanya sekadar kosmetik
PAKATAN Harapan, yang dianggotai DAP, PKR dan Parti
Amanah Negara (Amanah), perlu membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan
tersendiri, sekali gus berupaya mengubah landskap politik Malaysia,
demikian menurut penganalisis politik.
Tekad memeterai perjanjian kerjasama pada 9 Januari lepas, ketiga-tiga
parti perlu membuktikan dan tidak mengulangi kesilapan lampau ketika
bersama-sama dalam PR melalui gerak kerja dan keputusan kolektif sebagai
satu gabungan politik mantap.
Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun ini pastinya ditunggu-tunggu oleh
banyak pihak untuk melihat sejauh mana kemampuan ketiga-tiga parti itu
bekerjasama dan memberi impak kepada dunia politik tanah air.
Bertambah kukuhkah Pakatan Harapan selepas termeterainya perjanjian baharu itu?
Kekal formula lama
Penganalisis politik bagaimanapun melihat perjanjian pakatan kali ini
masih menggunakan model serupa dengan PR yang mengamalkan politik
berasaskan kepada hubungan berasaskan kepentingan tertentu.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat
berkata, perjanjian yang ditandatangani ketiga-tiga parti itu masih
mengekalkan prinsip sama seperti ketika PR diwujudkan dahulu.
Perbezaannya cuma pada nama dan tanpa penglibatan Pas, yang kedudukannya kini diambil alih Amanah.
"Pembangkang telah pun kehilangan aset yang besar apabila Pas keluar
daripada pakatan... mereka (pakatan) mengalami kemerosotan sokongan
khususnya orang Melayu apabila Pas tidak menyertai mereka dan inilah
realitinya," katanya kepada Bernama.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr
Amini Amir, yang bersependapat dengan Samsul Adabi, berpandangan bahawa
perjanjian itu sekadar kosmetik dan tidak membawa apa-apa keuntungan
kepada rakyat keseluruhannya.
Beliau berkata, apa yang terjadi ketika PR boleh terjadi di dalam pakatan PKR, DAP dan Amanah.
"Apabila Pas keluar, sudah pasti Pakatan Harapan tidak kukuh dan kuat
kerana yang menguatkan PR sebelum ini ialah Pas yang memiliki jentera
yang besar. Amanah tidak setanding Pas meskipun parti itu diberikan
peranan menggantikan Pas," katanya.
Retorik
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara
Malaysia, Md Shukri Shuib melihat tindakan mengadakan perjanjian itu
hanyalah satu retorik politik.
"Apa yang berlaku dalam pembangkang sebelum ini (PKR, Pas dan DAP)
menyebabkan gabungan pakatan baharu ini (PKR, DAP dan Amanah) kononnya
mahu lebih berwaspada sehingga membawa kepada perjanjian ini," katanya.
Md Shukri berkata pembangkang ketika ini sedang berusaha keras sehingga
menuntut mereka mengadakan perjanjian berkenaan bagi mengikat
ketiga-tiga parti, selain cuba menonjolkan kepada rakyat bahawa mereka
juga mampu bertahan dan mencapai kesepaduan seperti BN.
"Persoalannya, jika sudah wujud pakatan yang baharu dengan perjanjian
bersama maka apa akan jadi dengan pakatan sebelum ini yang melibatkan
Pas terutamanya dalam hal pentadbiran kerajaan Selangor?
"Kerajaan Selangor nampaknya perlu membuang anggota Exco Pas dan
menggantikannya dengan seseorang daripada Parti Amanah, itupun atas
persetujuan dan perjanjian baharu yang dimeterai oleh ketiga-tiga parti.
Tetapi, bersediakah Pakatan Harapan menguatkuasakan perkara itu atau
adakah ini satu 'siri drama' pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum
ke-14?," katanya.
Gimik politik
Merujuk kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 9
Januari lepas yang dilapor sebagai berkata perjanjian itu menunjukkan
komitmen serius Pakatan Harapan untuk menjadi 'government-in-waiting',
penganalisis politik berkenaan berpendapat bahawa ia adalah sekadar
gimik politik.
"Realitinya, mereka dah kemerosotan sokongan selepas PAS tidak lagi
bersama mereka... ini hakikat yang mereka tidak boleh nafikan dan mereka
juga tidak mampu menggantikan BN.
"Kenyataan ini dibuat sekadar untuk menunjukkan kepada umum bahawa
pakatan masih lagi kuat meskipun tanpa Pas," kata Samsul Adabi.
Amini pula berkata: "Ia sekadar untuk mempengaruhi rakyat bahawa mereka
semakin matang dan kukuh walaupun realiti adalah sebaliknya."
Perjanjian Pakatan Harapan antara lain berkenaan hala tuju pakatan
termasuk proses dalam membuat keputusan membabitkan gabungan itu, calon
pilihan raya dan kesetiaan terhadap kerjasama itu.
Perjanjian itu juga turut menggariskan langkah tegas termasuk memecat keanggotaan parti tidak sehaluan.
Sokongan Melayu pecah
Natijahnya, ke arah mana sokongan orang Melayu selepas penubuhan Amanah, yang berteraskan orang Melayu?
Melihat senario politik semasa ini, kedua-dua penganalisis politik ini
berpendapat penubuhan parti Amanah akan membawa kepada perpecahan undi
khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Mereka juga yakin pertandingan tiga penjuru antara - Pas, Umno, Amanah -
pasti tidak dapat dielakkan pada pilihan raya umum akan datang.
Amini berkata, dalam konteks Pakatan Harapan, Pas pastinya tidak akan
mendapat sokongan padu daripada penyokong tegar pakatan itu sekiranya
bertanding di kawasan majoriti Melayu yang turut ditandingi Umno dan
Amanah.
"DAP dan PKR pastinya berhabis-habisan berjuang memastikan rakan sekutu
mereka menang manakala Pas bukan lagi rakan sekutu mereka," katanya.
Samsul Adabi berpandangan ekoran pergolakan politik semasa khususnya
melibatkan parti berteraskan orang Melayu akan menjadikan kumpulan atas
pagar lebih ramai pada pilihan raya umum ke-14.
"Ini akan menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment