Muhammad Bahrum Naim dalang serangan Jakarta
JAKARTA - INDONESIA. Polis sedang memburu Muhammad Bahrun Naim, yang
dipercayai dalang dalam serangan bom dan senjata api di Sarinah Thamrin
di sini, semalam.
Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian berkata, berdasarkan risikan dan
maklumat, polis percaya Muhammad Bahrun adalah dalang kejadian itu yang
menyebabkan tujuh orang mati dan lebih 20 orang parah, semalam.
Mohammed Bahrun merupakan pengasas kumpulan Katibah Nusantara yang mahu
menjadi pemimpin cawangan Daesh di Asia Tenggara serta bersaing dengan
pemimpin pengganas di negara-negara Asia Tenggara, katanya.
Kegiatan Katibah Nusantara dikaitkan dengan arahan ketua kumpulan
Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, yang pernah mengeluarkan arahan supaya
anggota-anggotanya di luar Syria dan Iraq mengadakan serangan berani
mati.
Bagaimanapun berdasarkan maklumat, Muhammad Bahrun kini dipercayai
berada di Raqqa, Syria iaitu pusat pemberontak yang menggelarkan diri
mereka sebagai pejuang negara Islam Iraq dan Syria.
Pada Jun 2011, Muhammad Bahrun dipenjarakan selama 2 tahun 6 bulan kerana kesalahan memiliki peluru hidup tanpa izin.
Polis menjejaki kegiatan Muhammad Bahrun pada 2010 kerana mendapat
maklumat lelaki berasal dari Solo itu terbabit dengan rangkaian
pengganas antarabangsa.
Setahun kemudian, polis dapat menahannya dan menemui 533 butir peluru
senjata api AK47 dan 32 peluru kaliber 9mm di dalam biliknya.
Mohammad Bahrun memberi alasan peluru-peluru itu adalah milik
saudaranya bernama Ipung yang juga seorang yang sedang dicari polis.
Setelah didakwa, mahkamah mendapati tiada bukti pembabitannya dalam
aktiviti keganasan dan dia dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana
memiliki peluru tanpa izin milik seorang lelaki bernama Ipung.
Muhammad Bahrun Naim @ Anggih Tamtomo atau turut dikenali sebagai Abu
Rayan berusia 32 tahun dan alamat terakhirnya ialah di RW 1 Kelurahan
Sangkrah, Kecamatan Pasar Kliwon, Solo, iaitu alamat rumah kedua orang
tuanya, Fathurrahman dan Siti Thoyyibah.
Portal berita dalam talian tempatan memetik beberapa jiran di kampung
itu berkata, bahawa Muhammad Bahrun sudah lama tidak pulang ke rumah
orang tuanya yang hanya didiami oleh ayah dan kedua-dua adiknya.
Keluarga Muhammad Bahrun, yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku di rumah itu, gagal ditemui.
Dalam kejadian serangan bom dan senjata api pagi semalam, tujuh orang
mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas manakala lebih
dari 20 orang termasuk 5 anggota polis yang dilaporkan parah.
Kumpulan pengganas terbabit memulakan serangan di Restoran Starbucks di
Gedung Cakrawala, Jalan MH Thamrin di sini dengan melemparkan bom dan
melepaskan tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati oleh pasukan
polis.
Kejadian serangan kumpulan militan semalam adalah kali ke-10 berlaku di Indonesia sejak 2000.
Serangan pertama di kediaman kedutaan Filipina pada 1 Ogos 2000 yang
mengorbankan dua nyawa dan mencederakan Duta Besar Filipina manakala
serangan terakhir sebelum kejadian semalam ialah pada 2009 dengan
tragedi bom di hotel JW Marriot dan Ritz-Carlton yang mengorbankan
sembilan nyawa dan mencederakan lebih 50 orang awam. - Bernama
1 orang berkata:
woi pakakrmu .takda cerita Pas ke.?
Post a Comment