Tidak perlu ujian DNA, bukti kewujudan Hang Tuah
MELAKA - Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)
menegaskan kajian mengenai kewujudan Hang Tuah tidak perlu dilakukan
melalui Asid Deoksiribonakleik (DNA) sekali gus dianggap membuang masa
dan pembaziran.
Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin berkata, kajian mengenai wira
Melayu itu telah pun dibuat oleh pakar-pakar sejarah dan sastera sejak
60 tahun lalu yang membuktikan Hang Tuah semangnya wujud dan tidak harus
dipertikaikan.
Menurutnya, bukti-bukti kewujudan Hang Tuah juga telah dibentangkan
dalam beberapa seminar sebelum ini yang mana ia bukan sahaja berasaskan
kepada sumber Melayu sahaja seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah
malah juga sumber dari Negara China iaitu dokumen Ming Shi yang
mencatatkan sejarah destinasi Ming selain Portugis dan Jepun.
"Bukti terkini mengenai kewujudan Hang Tuah juga boleh kita lihat dalam
buku Hang Tuah Catatan Okinama oleh Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa dan
Dr. Rohaidah Kamaruddin.
"Malah pada abad ke 15 terdapat 11 surat daripada kerajaan negeri
Melaka kepada kerajaan Ryukyu (Okinawa) dan dalam surat-surat tersebut
diantaranya ada menyebut kisah Laksmana Melaka, Hang Tuah.
"IKSEP menegaskan sekali lagi tidak perlunya kajian DNA lebih-lebih
lagi ia memerlukan kos yang tinggi untuk melakukannya dan tidak
sepatutnya dijadikan perdebatan memandangkan telah banyak bukti yang
diberikan berhubung kewujudan Hang Tuah," katanya di pejabat IKSEP Batu
Berendam hari ini.
Mohd Jamil berkata demikian ketika mengulas mengenai pihak yang
mendakwa pakar dan ahli sejarah yang mengkaji susur galur Melayu masih
gagal menemukan hasil saintifik mengenai kebenaran wujudnya Hang Tuah.
0 orang berkata:
Post a Comment