Tinggalkan Amanah sertai DAP
GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang menerima tujuh ahli Melayu baharu terdiri daripada anak jati negeri ini semalam.
Mereka ialah Mejar (B) Zaidi Ahmad (Kepala Batas); Abdul Wahab Long
(Kubang Semang); Syed Sulaiman PS Shaik Abdul Kadir (Datuk Keramat);
Mohd Sophian Mohd Zain (Jalan P Ramlee); Azizan Salleh (Sungai Ara), Nor
Syazwani Md Amin (Jalan P Ramlee) dan Mohd Izral Suhaimi (Balik Pulau).
Seorang ahli muda berusia 20-an, Derek Tan Kean Theng dari Bayan Lepas turut umumkan kemasukan dalam DAP.
Dalam sidang media di Wisma DAP negeri, Zaidi yang juga bekas ahli
Parti Amanah Negara berkata ketelusan parti itu tadbir negeri menarik
minatnya.
Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri itu berkata, dengan
keprihatinan DAP terhadap agama Islam, hatinya tertarik untuk menyertai
parti yang sering ditohmah sebagai rasis.
“Jika kita lihat rekod pentadbiran DAP di negeri ini, jelas ia amat
baik. Dengan mengamalkan prinsip CAT (cekap, akauntabiliti dan telus),
Pulau Pinang adalah negeri paling sikit berhutang dengan kerajaan pusat.
“Pemimpin DAP juga tidak memilih agama untuk berkhidmat, ini saya
nampak sendiri. Saya mengatakan ini bukan kerana mempunyai jawatan dalam
kerajaan negeri tetapi ini fakta,” katanya.
Beliau berkata, tohmahan kononnya DAP sebuah parti anti Islam sama
sekali tidak benar dan terbukti apabila kerajaan negeri memberi tanah
untuk bina bangunan mahkamah syariah yang baharu.
Ditanya status keahliannya dalam Amanah, Zaidi berkata, setiap rakyat mempunyai hak untuk memilih parti sendiri.
“Kemasukan saya ke DAP hari ini (semalam) membuatkan keahlian secara
automatik terbatal. Saya pilih DAP kerana merasa lebih sesuai dengan DAP
berbanding Amanah.
Sementara itu, Azizan yang juga pesara tentera berkata, hatinya terbuka
untuk sertai DAP kerana pemimpinnya ikhlas bantu rakyat.
Menurutnya, tindakannya dibuat dengan rela hati tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Saya dari dahulu perhati setiap parti politik yang ada di negara ini.
Saya tertarik dengan DAP kerana pemimpinnya kuat bekerja. Wakil
rakyatnya bersungguh-sungguh menyatukan rakyat, mereka langsung tidak
berminat untuk menjadi kaya.
Pegawai Khas dan Penyelaras Agenda Ekonomi Saksama Pulau Pinang, Abdul
Wahab berkata, kemasukan mereka sebagai ahli Melayu DAP, persepsi DAP
parti rasis tidak lagi relevan.
“Kita sering diberi persepsi buruk tentang DAP khususnya isu rasis dan
anti Islam. Kita masuk DAP bukan untuk memusuhi agama Islam dan bukan
nak masuk agama lain. Apa yang penting adalah perjuangan parti. Sejak
memegang jawatan dalam kerajaan negeri, banyak bukti menunjukkan DAP
mempunyai integriti yang tinggi.
Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, kemasukan
ahli Melayu dapat menambahkan kekuatan DAP di setiap kawasan terutama
luar bandar dan separa bandar.
0 orang berkata:
Post a Comment