Ada yang perli Pas lepas tewas PRN Sarawak
Idris Ahmad
SHAH ALAM - Pas mendakwa ada pihak menyindir parti itu selepas melihat
keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, semalam yang menyaksikan
parti Islam itu masih gagal melahirkan anak sulung di negeri itu.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, kalah menang dalam pilihanraya
bukan perkara baharu dalam Pas dan tewas dalam PRN Sarawak langsung
tidak melemahkan parti itu.
“Mereka ingat, Pas hanya parti pilihanraya. Pada tahun 1978 dalam
pilihanraya negeri Kelantan, Pas hanya mendapat dua kerusi setelah
memerintah selama 18 tahun. Musuh-musuh Pas membuat andaian Pas akan
berkubur. Alhamdulillah, tahun 1990 Pas memerintah kembali Kelantan
hingga kini.
“Begitu juga di Terengganu, Pas pernah kalah di semua kerusi pada tahun
1978 setelah Pas dipecat daripada BN. Kebetulan Terengganu pula baru
mendapat telaga minyak sehingga digelar Kuwait Malaysia. Penganalisis
politik menganggap Pas akan berkubur, tetapi Alhamdulillah tahun 1999,
Pas menang sehingga 2004, dan bangkit semula selepas kalah 2004 hingga
kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, keputusan PRN Sarawak menyaksikan BN menang bergaya di Sarawak
apabila mendapat 72 kerusi daripada 82 kerusi Dun dipertandingkan
manakala DAP hanya menang 7 kerusi, PKR 3 kerusi sementara Pas dan
Amanah masing-masing gagal di semua kerusi yang ditandingi.
Menurut Idris, kekalahan itu tidak melemahkan daya juang Pas dan banya
banyak lagi kerja yang perlu dilakukan mereka di Sarawak.
“Insya-ALLAH, Sarawak buminya subur untuk dakwah. Penduduknya berbudi
pekerti dan berbahasa boleh menerima kedatangan Pas ke rumah mereka
walaupun mereka bukan beragama Islam.
“Insya-ALLAH Pas akan mengatur langkah untuk kejayaan dakwah dan
perjuangan politik Pas di Sarawak. Pas akan terus melawan kemungkaran
dan ketidakadilan. Semuanya tidak melemahkan Pas untuk bergerak di
Sarawak sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah. Pas tidak akan
menyerah kalah dan semput dada selagi Pas tidak meninggalkan Islam
sebagai dasar,” katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya Pas sebuah parti pilihanraya, sudah tentu parti itu sudah lama berkubur.
“Mereka yang hanya beriman dengan pilihanraya semata-mata, tidak tahan
lama dengan Pas. Mereka yang beriman dengan fikrah perjuangan yang tulen
akan terus mara bersama Pas, walaupun beribu-ribu kali tewas di dalam
pilihanraya.
“Mereka yakin apabila sampai waktunya perjuangan Islam akan menang. Insya-ALLAH,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment