RUU355 beri hikmah penyatuan umat Islam
KOTA BHARU – Tidak mustahil isu sokongan Rang Undang-undang 355 (RUU
355) memberi hikmah penyatuan kepada seluruh umat Islam, kata Pensyarah
Kanan Ekonomi Politik Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr
Mohd Syakir Mohd Rosdi.
Menurutnya, sebelum ini sukar untuk dilihat pimpinan Pas dan Umno duduk
semeja membincangkan isu Melayu-Islam, tambah-tambah lagi jika berada
dalam suasana pilihan raya.
“Sebagai umat Islam, untuk bersatu tidak menjadi masalah kerana
persamaan atau titik temu itu lebih banyak berbanding dengan
perbezaannya. Antara titik temu yang paling dominan ialah agama.
“Jika RUU 355 ini sama-sama dipersetujui oleh Pas dan Umno, itu tidak
pelik kerana atas dasar mempertahankan Melayu-Islam. Yang peliknya
apabila ada orang Islam sendiri yang tidak menerima pindaan RUU355 ini
untuk menambah baik proses perundangan syariah agamanya sendiri,”
katanya kepada Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik
Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mempersoalkan apa salahnya jika Pas
dan Umno bersatu dalam isu sokongan RUU 355 tersebut.
Menurutnya, jika parti Melayu-Islam bersatu, maka ia akan menjadi
kebimbangan yang serius oleh parti politik bukan Islam kerana kekuatan
Melayu-Islam akan dapat dikembalikan di Malaysia.
Beliau berkata, hanya agama menjadi titik temu yang paling besar antara
Pas dan Umno dan mereka dibentuk oleh orang Melayu yang memiliki agama
dan beramal dengan suruhan yang sama.
“Kita lihat antara pandangan yang menolak RUU355 ialah parti bukan
Melayu-Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu-Islam. MCA
bimbang jika hudud tidak hanya di Kelantan, tetapi akan mempengaruhi
negeri lain.
“Secara politiknya, tuduhan tersebut seolah-olah kesilapan yang telah
disedari. Mungkin untuk kukuhkan parti dengan sokongan undi bukan
Melayu-Islam. Hal ini terbukti di PRN Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Isu RUU355 ini terus menjadi modal politik mereka.
“Dalam pada itu juga, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang agak
sama dengan Lim Kit Siang bahawa RUU355 bukan hudud Islam tetapi hudud
Abdul Hadi. Di sini jelas, bukan Muslim ambil peluang apabila umat Islam
sendiri mempersoalkan undang-undangnya sendiri,”katanya.
Mohd Syakir juga turut berpendapat, jika kita masih memikirkan
pandangan bukan Islam kepada RUU355 ini, maka sampai bila pun umat Islam
sukar untuk bersatu.
1 orang berkata:
Pergi ke kedai membeli barang tulis buku 555,
Bila tengok hutang kedai makin bertambah mulalah kepala berserabut!
Atas dasar AKIDAH, PAS dan UMNO berusaha ingin mendaulatkan undang2 Allah yg dimulakan dgn RUU 355,
Mungkinkah atas dasar yg sama jugalah PAN dan DAP serta MCA akan menentang usaha2 tersebut!
Post a Comment