Rakyat harus yakin dengan pindaan RUU 355
SHAH ALAM - Pelaksanaan syariah tidak boleh selektif dan ia seharusnya
meliputi segenap kehidupan manusia sama ada dalam aspek politik, ekonomi
dan sosial, kata Naib Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Menurut Khairil, sekiranya majoriti rakyat di negara ini yakin dengan
pengurusan operasi dan pelaburan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) berteraskan syariah, maka mengapa tidak rakyat juga memberikan
keyakinan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) yang dibawa oleh Pas.
“Pelaksanaan syariah yang betul akan mencapai matlamat syariah (Maqasid
Syariah) yang sebenar iaitu untuk membawa kemaslahatan, menolak
kemudaratan, mengundang kebaikan di dunia dan akhirat serta mendapat
keredaan ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: KWSP buka pendaftaran Simpanan Syariah hari ini]
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan
mengumumkan simpanan syariah yang dibuka pendaftarannya di seluruh
negara.
Dalam pada itu, Khairil berkata, pindaan RUU 355 bukan hanya mengenai
hudud, qisas dan ta’zir namun ia hanya sebahagian kecil usaha Pas untuk
memartabatkan institusi serta peranan Mahkamah Syariah sedia ada setelah
lebih 30 tahun tiada sebarang pindaan.
“Sudah tentu, usaha yang kecil ini adalah untuk memastikan ia selaras
atau lebih menepati hukum-hakam Syarak di samping bagi mengacapi hikmah
tersirat di sebalik pelaksanaannya.
“Saya percaya keinginan rakyat terhadap pindaan RUU 355 ini juga
melangkau kepentingan dunia, iaitu dengan memburu keredaan ALLAH,”
katanya.
Menyentuh mengenai Simpanan Syariah KWSP, Khairil turut memanjangkan
ucapan tahniah kepada panel pelaburan yang terdiri daripada barisan
ulama muamalat kerana berusaha bagi merencanakan agenda mulia ini.
Beliau berkata, ramai pencarum berpusu-pusu ke seluruh cawangan KWSP
untuk menukar akaun mereka kepada mod simpanan syariah meskipun mereka
tidak dijamin dengan kadar dividen sebanyak 2.5 peratus setahun.
“Sudah tentu, mereka yakin bahawa kewangan diuruskan secara bebas
riba’, gharar dan maysir yang pasti akan dijamin keberkatan serta
keredaan daripada ALLAH.
“Perspektif mereka terhadap keuntungan menjangkau aspek material
semata-mata dan inilah maqasid Syariah yang dicari sekiranya hukum-hakam
syarak berkaitan dipatuhi terlebih dahulu,”katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment