PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan bertindak secara profesional dan mengikut peraturan sedia ada dalam meneliti permohonan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam operasi penilaian pendaftaran permohonan parti baharu berkenaan.
  
"Saya yakin pegawai ROS akan laksanakan tugas tanpa prejudis. Permohonan itu akan dikemuka kepada sebuah jawatankuasa yang akan lakukan ulasan untuk kelulusan Menteri Dalam Negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara ke-3 di sini hari ini.
  
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan permohonan bagi mendaftar parti baharu itu di pejabat ROS di sini.
  
Ahmad Zahid berkata permohonan berkenaan akan diteliti mengikut butiran yang dikemukakan dan lazimnya tempoh paling cepat diluluskan adalah dalam masa sebulan atau 30 hari.

"Oleh itu jangan ada mana-mana individu yang mengenakan tekanan kepada ROS  untuk menyegerakan kelulusan permohonan tersebut," katanya.
  
Ditanya mengenai masa depan parti baharu berkenaan dan kesannya terhadap Umno, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata lazimnya dan berdasarkan sejarah, hayat parti serpihan tidak panjang.
  
Katanya Umno telah mengalami empat saingan daripada parti serpihan Umno iaitu Parti  Kemerdekaan daripada pengasas Umno sendiri pada 1951, Parti Kemerdekaan 1956, Parti Semangat 46 dan PKR. - Bernama