SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau 
menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation Bhd ketika
 beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan 
Kementerian Kewangan.

“Ini semua bohong dengan niat jahat serta tidak benar,” kata bekas
 Ketua Pembangkang itu dipetik laporan Malaysiakini.

Penafian tersebut dibuat ketika sesi soal jawab yang dikendalikan 
peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang 
mewakili senator, Datuk S Nallakaruppan di Mahkamah Tinggi Kuala
 Lumpur, pagi tadi.

Dalam sesi soal jawab itu, Shafee mendakwa Anwar menerima wang
 tersebut di beberapa lokasi antaranya di Bukit Damansara, kediaman
 rasmi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan gelanggang tenis
 di kondominium Tivoli Villa, Bangsar.

Dalam sesi tersebut, Shafee menamakan orang tengah itu sebagai isteri
 Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Ismail,

Nama lain yang disebut adalah Sukma Darmawan Saasmitadja, isteri
 Menteri Besar Selangor, Shamsidar Taharin dan senator, Mohd Ezam
 Md Noor.

Anwar memberikan keterangan dalam kes saman RM100 juta 
selepas Nallakaruppan mendakwa wang itu diberikan kepadanya 
ketika beliau bertanding dalam Pilihan Raya Permatang Pauh pada
 2008.