KOTA BHARU - Biarpun diuji pelbagai cabaran, namun Pas Kelantan 

mengharapkan penyokong dan kepimpinan yang ada dapat bertenang,
 di samping terus beristiqamah dengan perjuangan Islam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sepanjang tempoh 60 tahun
 Pas di Kelantan, pelbagai perkara dihadapi dan ia ujian untuk menjadi 
lebih matang, sekali gus memastikan parti Islam itu terus berkubu
 di negeri ini.

“Kita telah melalui ujian demi ujian, selepas Muktamar baru-baru ini,
 beberapa orang tidak terpilih keluar meninggalkan Pas dan bentuk 
parti baharu. Kita tidak rasa tergugat.

“Kita mesti tenang, kita kena bersabar kerana ia baru sahaja bercambah
 sebagai benih dan belum diletakkan di suatu tempat untuk membesar.
 Kita perlu berikhtiar untuk meneruskan tanggungjawab yang kita pangku
 hari ini. Ini bukan pilihan tetapi kewajiban,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan 
di Medan Ilmu yang turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Tuan
 Ibrahim Tuan Man; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik
 Abdullah dan Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Che Mat
 Nawi yang juga pengarah program serta barisan kepimpinan Pas
 negeri.

Ahmad berkata, sambutan itu sangat penting khususnya di Kelantan
 untuk mengenang jasa pejuang yang bertungkus-lumus membentuk
 pentadbiran berlandaskan Islam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan turut menghargai 
sokongan dan kepercayaan diberikan oleh rakyat selama ini untuk
 meneruskan legasi kepimpinan ulama yang ditinggalkan Allahyarham
  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan parti dan negeri 
menghadapi cabaran.

“Apa yang saya ingin tekankan, perancangan kita atur tidak akan
 berjaya tanpa adanya ikatan ketakwaan kepada ALLAH SWT,
 kepatuhan kepada keputusan yang telah digariskan sama ada
 oleh Majlis Syura Ulama, Pas

Pusat atau mana-mana keputusan dibuat perlu difahami secara teliti
, dan diterima dengan hati lapang, walaupun kadang-kadang ia tidak
 secocok dengan kita.

“Bersabarlah dengan keputusan, khususnya dalam situasi 
mutakhir ini kita diuji dengan parti baharu, bersabarlah dan
 yakinlah ALLAH SWT akan memberikan laluan mudah 
kepada kita. Perkara-perkara sebegini kita perlu tekankan
 dalam parti,” katanya.

Tambahnya, merujuk kepada apa berlaku mutakhir ini, 
banyak isu agak panas dan pandangan yang boleh menatijahkan
 sesuatu tidak baik kepada parti.

“Bagi mengurus hal ini, semua ahli wajib mendokong konsep
 dengar dan patuh kepada pimpinan tertinggi. Parti ada Majlis
 Syura Ulama dan Presiden. Ia persoalan asas dan adat tertinggi
 di dalam Pas  wajib difahami dan diamalkan semua ahli parti,” 
katanya
.