Dua pengebom berani mati sah rakyat Malaysia
PETALING JAYA - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
hari ini mengesahkan dua pengebom berani mati yang terbabit dalam
kejadian serangan militan di Iraq dan Syria baru-baru ini adalah rakyat
Malaysia.
"Sebelum ini ada seorang rakyat kita terbabit dalam serangan bom.
Sekarang dua orang lagi. Setakat ini tiga rakyat Malaysia terbabit dalam
kes serangan bom.
"Mereka ini bukan sahaja tidak takut untuk mati tetapi berhasrat untuk
melakukan sesuatu perkara yang orang tidak terfikir hendak buat,"
katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penerimaan pesawat
kedua A400M dan Hangar A400M di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja
Malaysia di Subang dekat sini.
Hishammuddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung identiti kedua-dua pengebom itu.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis
masih menunggu laporan rasmi pengesahan identiti dua pengebom berani
mati dalam kejadian di Iraq dan Syria yang didakwa rakyat Malaysia.
Menurut laporan berita Isnin lepas, dua rakyat Malaysia meletupkan diri
mereka sendiri, menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut.
Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan
bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu
kumpulan pengganas Daesh di Raqqa, Syria pada 29 Disember, menurut
laporan itu.
Mohamad Shazwan Mohd Salim, 31, yang melaksanakan misi pada malam 3
Jan, ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke
pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke
utara Baghdad, Iraq.
Menyentuh mengenai pengubahsuaian Bajet 2016, Hishammuddin berkata ia
tidak akan menjejaskan aset atau perolehan Kementerian Pertahanan
"Ia tidak akan menjejaskan perancangan kami kerana saya dimaklumkan
bajet dibentangkan tahun lepas sebahagian besarnya merupakan
projek-projek yang telah kami komited.
"Contohnya, pesawat A400M yang kami terima hari ini," katanya.
Menyentuh mengenai kes tembak membabitkan anggota Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) di Kelantan baru-baru ini, Hishammuddin berkata kes
berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada polis.
Dalam kejadian pada 7 Januari lepas, seorang lelaki tempatan maut
selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos
kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment