KUALA LUMPUR - Jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku

 Menteri Besar Kedah dilihat masih selamat buat masa ini selepas
 mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan akan
memaklumkan calon pengganti dalam tempoh waktu terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selaku

Presiden Umno, beliau perlu mempertimbangkan permintaan 14
 Ketua Umno Bahagian di Kedah yang mahukan Mukhriz
dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

“Kita dengar ada permasalahan tetapi ini diputuskan oleh 14

 ketua bahagian.

“Jadi saya sebagai Presiden, saya kena ambil maklum dan

 saya kena juga beri pertimbangan yang serius terhadap
pendirian yang dibuat oleh ketua-ketua bahagian,” katanya
pada sidang media selepas berakhirnya mesyuarat MT Umno
 di Menara Dato Onn, semalam.

Najib berkata, beliau juga sudah menghadap Pengerusi

 Jemaah Diraja di Istana Darul Aman dan mengemukakan
nama calon bagi menggantikan Mukhriz.

“Saya maklumkan pada pada MT bahawa saya sudah

menghadap Pengerusi Jemaah Diraja pagi tadi (semalam)
dan saya sudah sembah maklum akan cadangan atas
 nama pihak Umno.

“Tiada penolakan (nama calon) dan pertemuan itu berjalan

 dengan baik. Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan,
” katanya.

Baru-baru ini, 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian di Kedah

 yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md Hanipah merayu Najib supaya membuat
 perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri
dan jawatan Menteri Besar Kedah.

Semuanya selepas mereka mengatakan hilang kepercayaan

 terhadap kepimpinan Mukhriz.
Dalam perkembangan lain, Najib mengumumkan Ahli Parlimen
Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilantik menjawat jawatan
Ketua Penerangan Umno yang baharu.

Presiden Umno itu juga turut mengumumkan nama lain dalam

 penyusunan semula struktur MT.

Nama yang diumumkan itu adalah, Datuk Seri Abdul Azeez

Abdul Rahim menjawat jawatan Pengerusi Daftar Pemilik dan
 Keahlian Umno; Datuk Johari Abdul Ghani sebagai Pengerusi
 Biro Ekonomi; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
sebagai Biro Pelajar Luar Negara; Datuk Razali Ibrahim sebagai
Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta dan Datuk Shamsul Anuar
 Nasarah sebagai Biro Kebajikan.

Selain itu, Najib memberitahu MT Umno turut berbincang

mengenai perkara seperti tarikh persidangan tahunan Umno
 peringkat cawangan dan peringkat bahagian bagi tahun ini,
 serta sambutan Ulang Tahun Umno ke-70 pada 11 Mei ini.

"Kita telah memutuskan persidangan tahunan untuk

cawangan-cawangan parti akan bermula 18 Mac 2016
 hingga 1 Mei 2016, (manakala) mesyuarat perwakilan
bahagian pada 1 Ogos sehingga 15 September.

“Kita juga berbincang tentang sambutan Hari Ulang Tahun

Umno ke-70... acara sambutan ini akan kita beri butirannya
secara lebih lanjut lagi sebab tempat cadangan asal (iaitu)
Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan kerana
 sedang dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata, antara program yang dirancang bersempena

 sambutan itu ialah larian bendera dan karnival sukan, dan ia
 akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Umno merangkap
 Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu, Annuar, ketika ditemui pemberita berkata,

 beliau berterima kasih kepada Presiden kerana
mengamanahkan kepadanya tugas yang besar dalam Umno.

“Saya sedar jawatan ini berat tanggungjawabnya... saya

 perlukan kerjasama semua pihak dalam Umno, sama ada
 pengerusi-pengerusi perhubungan, sayap-sayap mahupun
 anggota parti,” katanya
.