SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji digesa agar tidak berselindung

 berhubung krisis yang melanda organisasi berkenaan pada masa kini.

Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, menerusi
 penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir
 31 Disember 2014, jelas menunjukkan rizab Tabung Haji negatif 
dan ini menunjukkan ia tidak mempunyai dana serta aset yang cukup
 untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya
 dikeluarkan secara serentak.

“Ini apatah lagi untuk bayar dividen atau bonus. Saya harap kepimpinan
 Tabung Haji henti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang
 terma kewangan yang cuba sembunyikan perkara sebenar,” katanya.

Rafizi turut menggesa Tabung Haji mengadakan taklimat terbuka 
kepada pendeposit di seluruh negara jika benar kedudukan 
kewangan organisasi berkenaan kukuh.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya masih menunggu jawapan Pengerusi
 Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan
 Kumpulan, Tan Sri Ismee Ismail mengenai dakwaan rizab lembaga itu 
sebenarnya sudah menjadi negatif sejak tahun kewangan berakhir
 31 Disember 2014 lagi.

“Dengan mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak 
memberangsangkan dalam 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif 
ini lebih buruk bagi 2015.

“Kenyataan saya (sebelum ini) itu tidak disanggah malah keseluruhan 
kepimpinan kerajaan dan Tabung Hajimengelak dari menjawabnya.Jika 
pihak berkenaan (Tabung Haji) adakan taklimat, saya akan hadir sebagai
 salah seorang pendeposit kerana separuh daripada simpanan hari tua 
saya adalah di dalam Tabung Haji,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir
 31 Disember 2014, Setiausaha Agung PKR itu juga turut memaklumkan
 aset (bersendirian) RM54.751 bilion, sementara aset kumpulan Tabung Haji
 (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion.

Katanya, nilai aset anak syarikat Tabung Haji RM52.287 bilion (iaitu
 RM107.038 bilion tolak RM54.751bilion) dan alasan ini diguna kononnya anak
 syarikat Tabung Haji mempunyai aset besar.