ALOR SETAR - Semua 14 Ketua Umno bahagian yang terlibat secara 
langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari
 lalu dan enam exco yang tidak hadir Mesyuarat Exco pada 27 
Januari lalu didesak segera memohon maaf secara rasmi kepada 
Sultan Kedah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, 
sehingga kemelut itu selesai, semestinya setiap exco dan adun
 melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan Raja Pemerintah
 dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-undang
 Tubuh Kerajaan Kedah.

“Di saat rakyat Kedah sedang bergembira meraikan ulang tahun 
keputeraan Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin Umno
 negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan
 menteri besar.

“Tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian
 mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam 
Umno mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari
 lalu adalah tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga Adun Ayer Hitam itu berkata demikian menerusi 
satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, perbuatan kumpulan itu telah mencemar pelbagai 
acara sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.

“Saya menerima khabar sesungguhnya Ahli-ahli Jemaah Pemangku
 Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa exco yang
 sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat
 sumpah jawatan masing-masing,” katanya.

Mukhriz berkata, turut mendukacitakan, enam daripada sembilan exco
 tidak menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah pada 27 
Januari lalu.

“Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai 
penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat 
di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub dalam 
Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Sebagai exco, keengganan menghadiri Mesyuarat Exco 
menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur
 kerajaan negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti 
pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Jelasnya, Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga 
memaklumkan turut murka dengan keingkaran Exco berkenaan.


“Selaku Pengerusi Umno Kedah, saya dengan rasa rendah diri 
memohon ampun kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah 
Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli Umno
 yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan 
kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah,” 
katanya

.