Tindih kerusi: PKR gagal jadi orang tengah
SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat situasi yang melanda Pakatan
Harapan dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak membuktikan PKR
gagal memainkan peranannya sebagai orang tengah seperti yang
digembar-gemburkan sebelum ini.
Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis
berkata, dalam keadaan ini, parti-parti pembangkang perlu mengambil
iktibar atas pertindihan sehingga sebelas kerusi Dun di negeri itu dan
mencari jalan menanganinya.
“Sepatutnya perkara ini disusun lebih awal, capai kata sepakat sebelum
pencalonan lagi. Sekiranya ada konsensus di hujung terowong pun, itu
lebih baik berbanding mereka meneruskan dengan meletakkan calon
masing-masing di kawasan yang bertindih itu.
“Jika isu ini dapat diuruskan sebelum PRN, masyarakat akan dapat
melihat keharmonian dalam Pakatan Harapan itu. Jadi, apabila sudah
berlaku seperti ini, mereka (pembangkang) perlu mengambil iktibar kerana
masyarakat di Semenanjung pun memerhati perkara ini,” katanya kepada
Sinar Online.
Selepas penamaan calon PRN Sarawak, berlaku pertembungan di enam kerusi
Dun antara PKR dengan DAP iaitu Mulu, Mambong, Ngemah, Murum,
Simanggang dan Batu Kitang.
Sementara pertindihan tiga Dun antara PKR dengan Pas iaitu di Kakus,
Jepak dan Lambir manakala dua Dun antara Pas dengan DAP di Dun Samalaju
dan Pujut.
Namun PKR dan DAP memilih untuk terus bergerak ke depan dan hanya akan
berbincang isu pertindihan itu selepas hari pengundian, 11 Mei ini.
Menurut Shamsinor, apa yang berlaku di Sarawak itu jelas menjejaskan
imej PKR sebagai orang tengah kepada rakan pakatannya termasuk Pas.
“PKR ini orang tengah, parti banyak kawan tapi kalau ini ditunjukkan sebagai contoh...sukarlah.
“Ditambah pula apabila nama Datuk Seri Azmin Ali (Timbalan Presiden
PKR) naik walaupun beliau tidak mengiakan dakwaan, begitu juga beberapa
nama pemimpin lain di peringkat pusat yang disebut dalam menentukan
kerusi di Sarawak itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya situasi sama masih berulang
lama Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, Pakatan Harapan akan dilihat
sebagai satu pakatan yang longgar.
“Tapi saya yakin pembangkang akan bincang dan elak berlaku pertindihan
lagi pada Pilihan Raya Umum nanti dengan menjadikan kes di PRN Sarawak
ini sebagai satu iktibar. Sebab kita bercakap bukan tentang satu atau
dua kerusi. Itu yang pelik.
“Sebelum ini, saya menjangkakan akan ada pertindihan antara Pas dengan
DAP sahaja ataupun Pas dengan Amanah. Tak sangka PKR pun yang sepatutnya
menjadi orang tengah dalam Pakatan itu ada pertindihan juga,” katanya.
Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej
Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, langkah ‘move
on’ yang diambil PKR dan DAP dalam isu pertindihan kerusi itu cara
terbaik buat masa ini.
“Sepatutnya mereka perlu selesaikan lebih awal isu ini tapi sekarang
sudah gagal...kalau nak tarik diri pun tak boleh. Tak apalah mungkin itu
menunjukkan kelemahan pembangkang tapi kena fikirkan cara terbaik
selepas ini jika tidak mereka akan dilihat tidak bersatu dan gagal,”
katanya.
Katanya, pembangkang perlu meneliti kembali dasar mereka bersatu namun masih berebut kerusi dan kuasa.
“Tidak boleh menuding jari kepada sesiapa. Semua bersalah. Ini bukan
lagi isu satu parti yang buat kesalahan. Ini menunjukkan kegagalan
peringkat kepimpinan tertinggi PKR untuk menyelesaikan isu ini.
“Kegagalan ini mungkin berpunca daripada tidak ada satu suara pemutus
utama iaitu Pakatan Harapan yang akan memutuskan siapa bertanding setiap
kerusi,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment