Muhyiddin jadi ketua pembangkang?
SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dilantik sebagai ketua
pembangkang sekiranya parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) komited
dengan reformasi, menghormati sistem demokrasi dan perlembagaan
persekutuan Malaysia.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Harapan sedia
bekerjasama dengan mana-mana pihak, selagi mereka menghormati syarat
utama (reformasi) untuk mewujudkan timbang tara yang jelas di Malaysia.
"Sekiranya mereka tidak komited dengan reformasi, maka kita akan
menukar pimpinan secara nama dari seorang individu kepada individu yang
lain. Ini isu kerjasama, ia bergantung kepada jumlah kerusi yang
dimenangi, itu normal.
"Kita kena ingat semasa DAP memenangi kerusi yang banyak majoriti pun,
mereka yang mencadangkan supaya jawatan (ketua pembangkang) dipegang
oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada saya, ia terlalu awal untuk
diberitahu, parti Bersatu baru sahaja didaftarkan, yang penting wujudkan
momentum dan buat kerja," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, Anwar juga sentiasa mengingatkan supaya turun ke bawah dan berada di lapangan untuk wujudkan momentum.
"Ingin saya kongsikan, selepas dipecat daripada Kabinet, Anwar dalam
masa 18 hari telah selesai jelajah satu Malaysia. Jadi pada saya, kita
harus gerakkan rakyat supaya mereka dapat lihat, dapat rasakan momentum
dengan keadaan di mana media dikawal," katanya.
Baru-baru ini, DAP melalui Setiausaha Publisitinya, Tony Pua menyatakan
kesediaan parti itu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan
mana-mana parti, termasuk parti baharu, Bersatu.
Menurut Tony, jalinan kerjasama DAP dengan Bersatu bersandarkan kepada
keyakinan bahawa perjuangan parti baharu itu adalah untuk memperjuangkan
agenda menegakkan keadilan di Malaysia, sifat yang sama diperjuangkan
DAP.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berkongsi beberapa pesanan Anwar
kepadanya iaitu memastikan setiap gerak kerja harus bersama rakyat dan
mesti menjadi keutamaan.
Menurutnya, Anwar juga tidak mahu ahli keluarga terlalu bimbang dengan
keadaannya di penjara kerana ramai lagi ahli parlimen pembangkang yang
berdepan dengan pelbagai tuduhan.
Justeru itu katanya, Anwar ingin memastikan pentadbiran di Malaysia
tidak mengguna sebarang undang-undang yang menekan hak untuk berpolitik.
"Katanya, jika kita memusuhi sesiapa biarlah secara berdebat, berbahas,
berdiskusi secara ilmiah untuk menghasilkan dasar yang terbaik buat
negara.
"Selain itu beliau (Anwar) sentiasa mengingatkan agar kita tidak hanya
menumpukan kepada satu isu saja. Dahulukan isu rasuah, kronisme. Itu
yang menyebabkan skandal 1MDB berlaku," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment