Pas dakwa BN gagal jadikan Malaysia sejahtera
SHAH ALAM – Pas Kedah mendakwa kerajaan pimpinan BN sejak lebih lima
dekad lalu gagal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sejahtera
untuk rakyatnya.
Sebaliknya, Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
berkata, rakyat negara ini terpaksa menanggung pelbagai beban dan
kepayahan selain negara ini yang digugat pelbagai ancaman terhadap
keharmonian, keamanan, kestabilan serta kedaulatannya.
“Rakyat sudah penat, negara semakin sakit dengan kemelut dan hiruk
pikuk politik retorik yang disulam oleh keparahan pelbagai skandal,
salah urus tadbir, penyelewengan dan pengkhianatan dalam perjalanan
pemerintahan.
“Maka, gagasan ini (Gagasasan Sejahtera) lahir tidak sekadar
menyelamatkan pertiwi dan menunaikan tanggungjawab demokrasi tetapi
menjadi solusi pemulihan yang akan mengangkat kembali dan meneguhkan
negara di landasannya menurut acuan Perlembagaan Malaysia,” katanya
dalam satu kenyataan.
Sabtu lalu, Pas mengumumkan kerjasama politik parti itu dengan Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang sebelum ini membentuk blok politik
ketiga kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.
Dalam pada itu, Fakhruddin berkata, Gagasan Sejahtera yang dibentuk itu
merupakan permulaan baharu untuk sebuah kehidupan lebih bahagia dan
menjadi aspirasi murni rakyat Malaysia demi masa depan negara ini.
“Impian ke arah negara Malaysia yang sejahtera dan mencapai kemakmuran
dalam segala aspek memerlukan dukungan bersama seluruh rakyat.
Tunjangnya bermula oleh pemerintahan yang berakar dari dasar negara nan
teguh serta menjulang prinsip.
“Dengan itu, Pas Kedah menyeru keterbukaan dan kesediaan seluruh rakyat
pelbagai agama, kaum dan budaya serta entiti masyarakat dan NGO-NGO
untuk menjulang hasrat menjadikan Gagasan Sejahtera sebagai wadah kita
bersama,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment