Perlu dapat restu tokoh pembangkang
SHAH ALAM – Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu
mendapat restu daripada tiga tokoh pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sebelum layak
dilantik mengetuai mereka.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian
Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata,
persetujuan tiga tokoh tersebut penting dalam menentukan pola sokongan
daripada parti-parti komponen pembangkang itu sendiri.
“Masalah yang ada hari ini, pembangkang sendiri terbahagi kepada dua
kelompok. Jadi beliau (Muhyiddin) memerlukan kerjasama daripada
kombinasi parti yang ada untuk memegang jawatan tersebut.
“Persoalannya, sejauh mana beliau (Muhyiddin) akan mendapat kerjasama
daripada wakil pembangkang memandangkan percakaran yang berlaku dalam
blok pembangkang masih belum selesai sehingga kini,” katanya, semalam.
Menurut Shukri, kapasiti Muhyiddin sebagai bekas timbalan perdana
menteri juga tidak dilihat sebagai satu kelebihan untuk dilantik sebagai
ketua pembangkang.
“Masih ramai pemimpin atau veteran pembangkang yang lebih arif mengenai
perjuangan pembangkang untuk diletakkan di posisi tersebut,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment