Terserah Lembaga Disiplin Umno ambil tindakan
KUALA TERENGGANU - Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menyerahkan
kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap Adun
Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang didapati lantang mengkritik kepimpinan
Umno negeri sejak akhir-akhir ini.
Pengerusinya, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia bagi memastikan
setiap anggota parti yang didapati melanggar disiplin dikenakan tindakan
tanpa mengira status dan jawatan beliau di dalam parti.
"Kita akan ambil tindakan berasaskan disiplin parti, kalau sesiapa
bersalah kita akan ambil tindakan kalau kata saya sendiri bersalah perlu
diambil tindakan.
"Kalau dipecat, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin Umno, kalau dia
bersalah, bersalahlah. Kita di peringkat Badan Perhubungan (Umno
Negeri) akan menghantar laporan ke peringkat tertinggi untuk diambil
tindakan.
"Ini adalah asas yang perlu didokong oleh parti yang mempunyai prinsip
(seperti Umno)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
sambutan Hari Raya Terengganu Inc di sini hari ini.
Ahmad Razif mengulas mengenai desakan beliau kepada Majlis Tertinggi Umno supaya memecat Ahmad berikutan tindakannya itu.
Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu dalam pada itu berkata
sebelum ini Badan Perhubungan Umno pernah membuat laporan kepada Lembaga
Disiplin parti terhadap beberapa individu yang didapati berpaling tadah
pada pilihan raya sebelum ini dan juga pihak yang cuba menggugat
kestabilan politik negeri ini.
"Ini tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Jika
kita tidak berani ambil tindakan ia akan jadi berat sebelah dan ini akan
menyebabkan kepercayaan anggota Umno yang lain akan tergugat, yang ini
kita perlu perkasakan," katanya.
Ditanya sama ada tindakan itu akan menggugat sokongan anggota parti
terhadap beliau, Ahmad Razif berkata beliau tidak mempunyai masalah
dengan situasi itu kerana apa yang penting adalah memastikan disiplin
dan peraturan parti dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Kalau kita (parti) berani ambil tindakan terhadap bekas Timbalan
Presiden dan Naib Presiden parti, itu bagi saya adalah satu kekuatan dan
ini menunjukkan Umno kini semakin kuat sebenarnya," katanya. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment