KOTA BHARU - Pas menolak cadangan pembahagian kerusi

 yang dicadangkan bekas rakan sekutunya dalam pakatan
 pembangkang, DAP, untuk pilihan raya umum ke-14 
(PRU14) nanti.
  
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan

 parti itu akan bertanding di seluruh negara, malah akan
 menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya.
  
"Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh 

negara... belum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan
 raya umum). Kita bukan parti kenegerian dan parti 
perkauman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri 
Himpunan Fastaqim (Himpunan Kebangkitan) di Stadium
 Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.
  
Beliau mengulas mengenai cadangan DAP sebelum ini 

yang mengemukakan formula pengagihan kerusi dalam
 kalangan parti pembangkang bagi mengelak pertandingan 
tiga penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional
 (BN).
  
Pengerusi DAP Lim Kit Siang dipetik sebagai berkata 

satu-satunya cara ialah Pas bertanding di Kelantan, 
Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah 
Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang 
tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.

Ditanya mengenai ancaman Amanah terhadap parti itu 

selepas kebanyakan ahli Pas beralih arah kepada parti 
serpihan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang
 menganggap perkara berkenaan hanya perkara kecil.
  
"Kepada kita, Amanah ini tidak ada apa-apa cabaran 

yang besar kepada Pas. Pas pernah menghadapi cabaran
 lebih besar daripada ini terutama pada tahun 1978 yang
 menyebabkan rakyat Kelantan buat demonstrasi sehingga
 menyebabkan kerajaan Kelantan jatuh.
  
"Namun demikian kita dapat melangsungkan perjuangan 

kita 

dengan cara yang baik dan kita dapat meningkatkan bukan 
sahaja anggota parti, bahkan meningkatkan pengurusan 
parti," katanya. - Bernama