Setuju Wan Azizah bawa usul tidak percaya
KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini sebulat suara
bersetuju untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau sendiri akan membawa usul tersebut dalam masa terdekat.
"Kita akan adakan satu usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang akan dibawa oleh saya sendiri selaku Ketua Pembangkang.
"Kita akan ikut peraturan 26, kena beri notis 14 hari," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di menara Parlimen, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan-PKR, Hee Loy Sian mengemukakan usul tidak percaya beliau terhadap Najib untuk dibahaskan pada persidangan Parlimen kali ini.
Perkara itu dapat dilihat menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi persidangan ketiga bagi penggal ketiga Parlimen ke-13 yang bermula, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Azizah juga berkata, melalui keputusan itu, beliau akan meminta wakil rakyatnya itu menarik balik usul tersebut bagi memberi laluan kepada usul bersama itu.
"InsyaALLAH dia akan tarik balik kerana ini tunggu Majlis Pakatan untuk semua parti-parti dalam Pakatan bersetuju bahawa saya akan bawa usul itu.
"Semua parti pembangkang bersetuju," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata lagi, Majlis Presiden bersetuju untuk melantik bekas tokoh Umno, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai ketua setiausaha untuk menggerakkan sekretariat Pakatan Harapan yang ditubuhkan, hari ini.
"Kita juga bersetuju untuk membuat satu polisi framework dengan perjanjian coalition yang dipersetujui bersama.
"Kita akan ada Task force, tiga orang dari setiap parti untuk meneliti semua ini," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment