Jika tol tidak naik, BR1M akan berkurang
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan
kenaikan kadar tol berkuatkuasa 15 Oktober lalu sebagai satu keperluan.
Tegas Najib, kerajaan tiada pilihan selain menaikkan kadar tol, kerana jika
langkah itu tidak dilaksana, kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kadar
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), lapor Astro Awani.
"Kita terpaksa meningkatkan kos. Kita tiada pilihan. Jikalau tidak naik
, pampasan perlu dibayar. Perjanjian tol ditandatangani 20 tahun lalu di mana
jika tiada kenaikan kadar tol, kita perlu membayar pampasan. Jadi apabila
kita membayar pampasan, peruntukan untuk perkara lain juga berkurangan.
Kurang duit untuk BR1M.
"Gerakan mahu saya meningkatkan harga BR1M. Namun anda perlu pilih,
yang mana satu anda mahu kerana kita ada peruntukan yang terhad," tambah
Najib dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional
ke-44 Parti Gerakan Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Gerakan agar
kerajaan menaikkan jumlah bantuan BR1M dalam Bajet 2016.
Mengulas lanjut, Najib juga berkata peningkatan kos sara hidup yang turut
berlaku di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan peningkatan kos adalah
satu perkara yang tidak boleh dielakkan lagi.
"Saya tanya Tan Sri Koh Tsu Koon (bekas Menteri Besar Pulau Pinang)
apa dah naik di Pulau Pinang? Dia kata tarif air sudah naik, kos
pembangunan naik, harga tempat parkir pun sudah naik. Jadi, di
Pulau Pinang, dan Selangor, kos pun naik juga," kata Najib.
Terdahulu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata parti
itu masih menyifatkan BR1M adalah satu pemberian yang tepat bagi
meringankan beban rakyat.
"BR1M ialah seperti skim-skim yang turut dilaksanakan di negara
maju seperti Singapura dan Hong Kong. Malah Gerakan menggesa
supaya BR1M dinaikkan, di samping langkah-langkah yang lebih
berkesan dilaksanakan dengan tujuan mengawal dan mengurangkan
kenaikan kos sara hidup," kata Siew Keong dalam ucapan aluannya
dalam persidangan yang sama.
Beliau turut mencadangkan semua isi rumah yang berpendapatan
kurang RM5,000 sebulan diberikan potongan cukai bagi bayaran Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) sama seperti potongan cukai untuk
insurans, KWSP, dan lain-lain perbelanjaan.
"Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berpendapatan
sederhana, sementara BR1M menyediakan bantuan dalam bentuk
wang tunai yang lebih diperlukan untuk golongan berpendapatan
rendah," tambah Siew Keong
.
0 orang berkata:
Post a Comment