SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata
 Pas semakin berada dalam keadaan tenat sekiranya pimpinan parti berkenaan
 masih tidak mahu melakukan sebarang perubahan.

Menurutnya, bagi memastikan Pas kekal relevan, beliau berkata parti berkenaan
 kini memerlukan tiga golongan pemikir iaitu Ulul Ilmi (Ahli Ilmu), Ulul Albab
 (Ahli Falsafah) dan Ulul Abroq (golongan yang dapat melihat apa terjadi pada
 masa depan).

Katanya lagi, kepimpinan Pas sedia ada juga disaran untuk berehat dan memberi
 ruang serta peluang kepada golongan bawahan terutamanya golongan muda dan
 profesional dalam parti berkenaan.

“Dalam politik, kita kena ada juga orang-orang dari bahagian akademik untuk
 masuk sekali dalam parti. Ulama akan fikir dengan cara dia tapi dari sudut
 nak bangunkan ekonomi, negara dan politik, kita kena juga pinjam orang dari
 bahagian akademik untuk bantu.

“Contoh nak buat kereta api, kita kena import jurutera dan arkitek tapi kenapa
 nak bangunkan Islam kita tidak mahu import orang dari luar?” katanya ketika
ditemui Sinar Harian.

Hassan berkata, pimpinan Pas juga perlu mengambil pendekatan mendidik
 pelajar-pelajar di universiti-universiti tempatan dan luar negara dari peringkat
awal bagi melahirkan golongan pelapis pada masa depan.

Ujar beliau, Pas sememangnya mempunyai ramai golongan ulama namun parti
 berkenaan masih kekurangan golongan walak iaitu taat setia serta ketua yang
 hebat.

“Pas perlu mencontohi kepimpinan seperti Hassan Al Banna, Abdul Qadir Audah
 dan Sayyid Qutb di mana orang ramai dapat mengambil kebaikan dari apa yang
mereka luahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan politik di negara ini, Hassan turut beranggapan
senario politik negara pada masa ini menunjukkan peningkatan yang baik dan rakyat
 semakin matang.

Beliau berkata, masyarakat kini mula faham dan berani untuk mencabar, mengkritik
 serta mengemukakan idea berhubung sesuatu isu yang berlaku.

“Ini barulah politik sebenar. Kalau diam saja, itu dipanggil politik pak turut,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan yang juga ahli Pas juga turut memaklumkan bahawa
 kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dalam arena politik tanah air bertujuan
 bagi menunjukkan kepada Pas yang parti berkenaan bakal kekeringan golongan
pemimpin akademik.

Hassan berkata, sekiranya ahli di dalam Pas berpecah, mereka masih mempunyai
 Amanah sebagai platform bagi meneruskan perjuangan politik.

“Ulama pernah berpesan, perpecahan kerana ingin bersatu itu lebih baik dari bersatu
 kerana hendakkan perpecahan.

“Kehadiran Amanah dalam politik tanah air adalah merupakan satu perubahan yang
 baik di samping melahirkan pemimpin dan pelapis yang hebat,” katanya
.