Kes Nur Amirah: MyWatch mahu tindakan tegas diambil
SHAH ALAM – Remaja hilang yang kononnya diculik, Nur Amirah Athirah
Abdul Majid perlu dikenakan tindakan tegas kerana melakukan dakwaan
palsu berhubung kehilangannya.
Pengerusi kumpulan pemerhati jenayah MyWatch, Datuk Seri Sanjeevan R
berkata, tindakan yang dilakukan remaja terbabit bukan sahaja
menyusahkan ibu bapa tetapi turut menyusahkan pihak polis dan orang awam
yang ramai bersimpati mengenai keselamatan dirinya.
“MyWatch mengutuk sekerasnya tindakan remaja 14 tahun, Nur Amirah yang
mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik supaya beliau dapat keluar
bersama teman lelakinya.
“Mywatch menggesa tindakan tegas dikenakan kepada remaja ini di bawah
Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum
penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Teman
lelaki remaja ini juga harus didakwa kerana bersubahat dalam kes
penipuan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nur Amirah yang hilang sejak Ahad lepas ditemui selamat bersama teman
lelakinya di dalam sebuah kereta di Banting, Selangor oleh pasukan polis
jam 8 malam tadi.
Menurut Sanjeevam, pihaknya percaya sekiranya tiada tindakan tegas
diambil, kes seperti ini akan berulang pada masa akan datang.
“Ini bukan kes yang pertama kalinya berlaku. Sebelum ini pada hujung
tahun 2014, seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang
turut bertindak mereka cerita kononnya diculik oleh tiga lelaki di
hadapan rumah sewanya di Pasir Gudang hanya kerana mahu melepaskan diri
setelah gagal menghantar tugasan yang diberi pensyarah.
“Bagaimanapun, MyWatch memuji risikan berkesan pihak polis yang berjaya
menjejaki remaja ini dan teman lelakinya. MyWatch turut menghargai rasa
simpati dan ambil berat masyarakat dalam kes jenayah ini,” katanya
lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment