Amanah sedia bekerjasama dengan Dr M
SELAYANG - Parti Amanah Negara (Amanah) sedia membentuk sebarang
kerjasama bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedia merancang
program-program seperti roadshow, himpunan kesedaran dan kenyataan
bersama dalam misi menyelamatkan negara bersama Mahathir.
Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan dan keputusannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Kami sedia bekerjasama (dengan Mahathir) dan semua pihak. Rancangan itu sedang dibincangkan dan kita akan umumkan nanti.
"Kalau Mahathir sudi bersama, kita boleh bekerjasama dalam sebarang
bentuk program yang bertujuan menimbulkan kesedaran rakyat," katanya
ketika sidang media di Wisma Amanah, di sini, hari ini.
Dalam sidang media semalam, Dr Mahathir mengumumkan untuk meninggalkan
Umno buat kali kedua selepas meninggalkan parti itu pada Mei 2008,
bagaimanapun menyertai semula pada tahun 2009.
Tindakan Mahathir meninggalkan Umno pada kali ini dibuat sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir berkata, langkah itu diambil kerana parti itu bukan lagi
seperti Umno dahulu, ia sebaliknya hanyalah sebuah parti penyokong
Najib.