Ucapan sinis Tun Mahathir untuk Musa Hitam
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
dengan sinis menyindir Tun Musa Hitam berhubung kenyataan yang
dilemparkan bekas timbalannya itu mengenai punca sebenar kegagalan
Wawasan 2020.
Melalui catatan terbaharu di blognya, Chedet.cc, Mahathir mengucapkan
terima kasih kepada Musa gara-gara menuding jari kepadanya sebagai punca
kegagalan Wawasan 2020 itu yang kurang empat tahun dari sekarang untuk
dicapai.
“Kepada Musa, terima kasih banyak kerana menuding jari. Mesti kamu
sudah menjangkakan ini pada 1986 lagi sebelum Wawasan ini
(diperkenalkan).
“Ini mungkin kamu sudah ramalkan yang menyebabkan kamu meletakkan
jawatan daripada kerajaan yang saya pimpin. Jadi, tiada sesiapa boleh
salahkan kamu. Khidmat kamu kepada saya dan negara akan tercatat dalam
sejarah,” tulisnya dalam artikel yang bertajuk ‘Tun Musa’.
Sebelum ini, Musa meletakkan kesalahan pada Mahathir sekiranya Wawasan
2020 gagal dicapai susulan beliau tidak melatih pemimpin di semua
peringkat untuk menjayakan wawasan itu.
Beliau juga mendakwa Mahathir memilih untuk membuang pemimpin yang berpotensi dan memilih untuk melatih penyokongnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Wawasan 2020 gagal sebab Tun M sendiri’]
Mengulas soal dakwaan Musa itu, Mahathir berkata beliau memilih semua
pemimpin yang menentangnya sebagai menteri dalam Kabinetnya.
“Salah seorang daripadanya Tun Abdullah (Ahmad Badawi) yang kemudiannya
saya namakan sebagai perdana menteri. Saya pilih yang tidak setia pada
saya berbanding yang setia.
“Saya tidak melatih sesiapa untuk memastikan kejayaan Wawasan 2020.
Saya percaya terhadap kepimpinan melalui teladan. Mungkin saya telah
memberikan contoh yang tidak baik sebab semua pengganti saya gagal
menjayakan Wawasan 2020. Sudah tentunya saya yang perlu disalahkan,”
katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri ke-4 Malaysia ini menyifatkan kegagalan pertamanya adalah Musa sendiri.
“Dia tidak boleh tunggu saya bersara jadi dia meletakkan jawatan
selepas lima tahun menjadi timbalan saya dalam kerajaan yang pengikutnya
panggil ‘MM Government’.
“Dia percaya Majlis Tertinggi Umno akan membuang saya dan memilihnya
sebagai Presiden (Umno). Majlis Tertinggi memutuskan untuk memujuk dia
kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden. Dia pun
kembali sebagai timbalan.
“Pada pemilihan parti, dia pujuk musuhnya, Tengku Razaleigh Hamzah
untuk bertanding jawatan Presiden melawan saya. Dia bersedia untuk
menjadi timbalan di bawah Tengku Razaleigh, bukan bawah saya,” katanya.
Tambahnya, Musa tetap berkomplot dengan Tengku Razaleigh meskipun
beliau telah melantiknya sebagai duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dengan status menteri ketika itu.
Musa merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang berkhidmat
pada tahun 1981 hingga 1986 di bawah pentadbiran Mahathir.
0 orang berkata:
Post a Comment