DAP memang mahu jadi ketua
KOTA BHARU - Masalah dalam PR sebelum ini berpunca daripada keinginan
DAP untuk menerajui pakatan tersebut dalam masa sama tidak mahu Pas
menjadi peneraju, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendedahkan kelantangan DAP menentang
Pas bukan disebabkan hudud semata- mata sebaliknya tidak mahu Pas
menjadi ketua dalam mentadbir negara pada masa hadapan.
[ARTIKEL BERKAITAN: DAP tak mahu Pas jadi ketua]
“Perkara ini bukan suatu yang baru, kerana DAP sudah sekian lama
melakukan tindakan menggambarkan mereka ingin menjadi ketua, memang
betul apa yang diperkatakan Datuk Tuan Ibrahim (DAP punca perbalahan
PR), malah berdasarkan perkembangan semasa tidak mustahil jika perkara
sama berlaku dalam Pakatan Harapan kelak.
“Bukan sahaja dalam bab hudud, tetapi dalam beberapa isu lain seperti
pilihan raya kerajaan tempatan, penukaran agama anak dan hak orang Islam
untuk keluar dari agama pun DAP lebih cenderung membuat keputusan
sendiri tanpa merujuk kepada rakan komponen lain,” katanya kepada Sinar
Harian di sini, semalam.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika Konvensyen DAP
Wilayah Persekutuan pada 2 November 2014 lalu pernah mengumumkan
perancangan menubuhkan kerajaan negeri di Kuala Lumpur jika berjaya
menguasai Putrajaya yang dibuat tanpa berunding dengan Pas dan PKR.
Kamarul Zaman mendakwa, hasrat DAP untuk menjadi ketua turut terserlah
dalam tindakannya mengemukakan cadangan persempadanan semula kawasan
pilihan raya yang akan menjadikan parti itu lebih dominan dalam politik
negara apabila kawasan bandar dikuasai dapat dipecahkan kepada kawasan
kecil.
“Selain itu, keinginan DAP itu juga jelas kelihatan di Selangor sejak
Oktober 2015, bila Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, mengumumkan hasrat
meletakkan calon di lapan kerusi Dun yang kini dikuasai Pas pada PRU14
nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Kluster Perpaduan Ummah, Institut Kajian
Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkata, situasi sama boleh dilihat di
Sarawak apabila DAP mengumumkan untuk bertanding di 21 kerusi Dayak
dalam PRN itu sedangkan kebanyakan kerusi tersebut sebelum ini
ditandingi oleh PKR.
“Ini belum dikira lagi usaha DAP cuba menerobos kawasan pendalaman
Melayu Bumiputera di tempat-tempat lain selain kesungguhannya merekrut
Melayu untuk menyertai mereka yang kesemuanya menunjukkan hasrat DAP
untuk menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang,” katanya.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara
Malaysia itu berkata, ini kerana DAP mempunyai ideologi dan pendirian
yang jelas serta tegas dalam isu-isu tertentu menyebabkan pemimpinnya
sukar menerima pandangan pemimpin daripada rakan komponen lain.
“Sikap pemimpin DAP yang sentiasa menganggap diri lebih baik daripada
pemimpin pembangkang menyebabkan mereka ingin menonjol dalam hampir
kesemua isu yang secara tidak langsung menampakkan mereka sedang
meletakkan diri sebagai ketua,” katanya.
1 orang berkata:
Tu pun masih ada melayu yg tak reti bahasa dan masih kata dap relevan dgn politik pembangkang.
Post a Comment