Muhyiddin: Yang terbabit skandal bukan saya
SHAH ALAM- Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari
ini mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang
menggugurkannya daripada jawatan kedua tertinggi parti itu.
Katanya, sepanjang beliau memegang tanggungjawab itu, beliau tidak
terpalit dengan masalah sebaliknya masalah dalam parti itu dibawa oleh
'orang lain' tetapi akhir-akhir sekali beliau yang 'kena'.
"Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya,
tetapi (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). Yang menerima RM42 juta duit SRC
International bukan saya, tetapi Najib.
"Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib.
Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib.
"Yang menjadi punca segala masalah Umno hari ini bukan saya, tetapi
Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus
bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya,"
katanya dalam Facebook rasminya hari ini.
Oleh itu, katanya Majlis Tertinggi lebih mementingkan soal teknikal
dalam mengambil tindakan terhadap diri beliau daripada meneliti
kandungan ucapan-ucapan beliau yang mempunyai implikasi jauh lebih besar
terhadap masa depan Umno dan negara.
"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan
surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak
dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat
perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri
sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk
menggantung saya," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM2.6b, SRC: Najib tiada kesalahan jenayah]
Terdahulu pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Peguam Negara
mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana
RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah
RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen
berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang
dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada
keluarga diraja Arab Saudi.
Manakala, katanya, siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta
SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan
kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan
jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang
Persaraan (KWAP).
Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada
keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan/atau dimaklumkan
terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment