Nasib Muhyiddin diketahui hari ini
SHAH ALAM - Selepas berdepan pelucutan jawatan Timbalan Perdana
Menteri, Julai tahun lalu, nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno
dijangka akan diketahui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari
ini.
Jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno dilihat tidak selamat
selepas beliau sering mengkritik secara terbuka pimpinan Presiden Umno,
Datuk Seri Najib Tun Rasak berhubung isu dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Merungkai persoalan itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selaku
Ahli MT berkata, beliau akan mengemukakan usul agar Muhyiddin digantung
sebagai Timbalan Presiden Umno.
“Saya akan bercakap untuk menghadapkan Muhyiddin ke jawatankuasa
disiplin parti di atas perbuatan yang tidak menjalankan tugas sebagai
Timbalan Presiden seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Umno.
“Saya harap akan dapat sokongan dan kalau beliau dihadapkan ke majlis
jawatankuasa disiplin, saya minta hukuman itu ialah jawatan beliau
sebagai Timbalan Presiden digantung,” katanya, semalam.
Menurut Nazri, semua proses untuk memastikan Muhyiddin dikenakan hukuman adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh parti.
“Saya akan ikut prosedur. Sebelum hadapkan beliau ke jawatankuasa
disiplin, pertamanya perlu ada aduan rasmi. Aduan rasmi saya adalah pada
esok (hari ini).
“Kemudiannya mungkin jawatan kuasa disiplin akan mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk beliau membela diri,” katanya.
Bagaimanapun menurut Nazri, MT mempunyai kuasa penuh untuk mengetepikan semua prosedur itu.
Ketika ditanya adakah ahli MT lain akan menyuarakan usul sama, katanya, perkara itu akan diketahui hari ini.
“Saya tidak tahu. Mungkin ada. Kalau lihat daripada laporan-laporan,
kenyataan dikeluarkan, nampaknya ramai bersetuju nak hadapkan Muhyiddin
ke jawatankuasa disiplin,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment