'Bukan era gelap Muhyiddin'
SHAH ALAM – Keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantung Tan Sri
Muhyiddin Yassin daripada memegang jawatan timbalan presiden parti itu
bukanlah bermakna beliau sedang melalui era gelap dalam arena politik.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Khairul Azwan Harun berkata, Muhyiddin
masih boleh menyuarakan pandangan mengikut saluran parti kerana beliau
masih lagi ahli Umno.
“Proses penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalan
presiden telah melalui perbincangan yang panjang pada 26 Februari lalu.
“Sebagai ahli Majlis Tertinggi yang mewakili Pemuda Umno, saya turut
terlibat dalam perbincangan berkenaan. Melihat kepada perbincangan yang
dijalankan, ia telah melalui proses penghujahan cukup matang tanpa ada
perkara peribadi diambil sebagai perhitungan,” katanya.
Khairul Azwan berkata, dalam suasana ekonomi semasa yang begitu
mencabar, juga dalam hal berkaitan aspek keselamatan, parti memerlukan
timbalan presiden yang dapat berdiri serta bekerjasama erat dengan
presiden.
“Ia sesuai dengan prinsip dan disiplin berorganisasi. Hubungan kukuh
antara timbalan dan presiden penting demi memastikan parti serta
kerajaan berfungsi dengan baik.
“Asas demokrasi perlu dipertahankan di mana presiden mendapat mandat
dan sokongan ahli Parlimen untuk meneruskan tugas sebagai Perdana
Menteri,” katanya.
Mengulas tanggapan golongan muda semakin kurang menyokong perjuangan
Umno kesan senario politik semasa juga tindakan terhadap Muhyiddin,
Khairul Azwan berkata, beliau yakin generasi muda kini lebih
bertanggungjawab dan menjiwai semangat serta nilai perjuangan kepartian
yang dibawa kepimpinan parti.
“Kita juga bercakap tentang menarik lebih ramai belia menyertai Umno,
tetapi dengan cara macam mana? Dalam Umno kita mendukung aspirasi
anak-anak muda yang menitikberatkan prinsip saling bekerjasama,
menghormati kebersamaan dan mewujudkan ruang luas untuk beri
pandangan,” katanya.
Beliau turut menimbulkan persoalan mengapa Muhyiddin tidak merebut
peluang aspirasi anak muda dengan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi
sebelum ini.
“Saya masih tidak mendapat jawapan tuntas daripada Muhyiddin kenapa
beliau mengambil pendekatan tidak menghadirkan diri (mesyuarat MT),”
katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment