'Jangan biar Muhyiddin serang Presiden Umno'
SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menyerang dengan pelbagai tuduhan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri
Najib Tun Razak tanpa fakta merupakan perkara yang tidak boleh diterima.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
berkata, jika ia dibiar berterusan, krisis tersebut akan mengheret parti
ke aras sokongan politik yang sukar.
“Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai kedudukan Timbalan Presiden
Umno yang buat sekian lama tidak pernah berhenti membuat serangan kepada
institusi Presiden Umno.
“Rakyat sedang memerhati tindakan dan bagaimana kita menyantuni
pemimpin dan pejuang lama. Ya, mungkin kita boleh berbeza pandangan
dalam perkara tertentu, tetapi menyerang Presiden Umno dengan tuduhan
yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran adalah satu yang tidak boleh
diterima,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau secara peribadi turut menyokong kepada usaha tindakan disiplin parti dikenakan terhadap Muhyiddin.
Menurutnya lagi, tindakan itu perlu dilakukan demi keutuhan dan kelangsungan perjuangan parti.
“Saya amat mengharapkan, agar Majlis Tertinggi Umno dapat mengambil
pendirian yang tegas, berasaskan konsensus, bahawa tindakan menyerang
Presiden ini mesti ditamatkan segera.
"Sebarang tindakan terhadap Timbalan Presiden, mahupun sesiapa sahaja
ahli parti, mestilah berasaskan kepada 'Perlembagaan' dan 'peraturan'
jelas yang ada di dalam parti.
“Ini tidak bermakna saya tidak menghormati pandangan Timbalan Presiden.
Tetapi, dalam sebuah organisasi, kita tidak boleh terus-terusan berada
di dalam keadaan yang serba defensif dan serba salah,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment