Isu pecat GLC: Kenapa kami diserang bila pertahan hak rakyat
GEORGETOWN - Setelah mendiamkan diri sejak sidang Dun November lalu,
Adun Kebun Bunga dari PKR, Cheah Kah Peng akhirnya menjawab isu
pemecatannya sebagai pengarah Perbadanan Bukit Bendera.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri memecatnya dan rakan iaitu Adun
Bukit Tengah, Ong Chin Wen itu tidak akan berhasil jika bertujuan
menutup mulut mereka dari terus mempertahankan suara rakyat.
Ini kerana beliau dan empat rakannya selain Adun Tanjung Bungah dari
DAP, Teh Yee Cheu hanya bertindak atas kepentingan awam ketika
menyuarakan pendapat mereka mengenai cadangan projek penambakan laut di
negeri ini.
"Fitnah dan serangan peribadi terhadap saya tidak akan menghalang saya
dari terus bertanya soalan dan mempertahankan hak rakyat. Keputusan
kepentingan awam tidak akan membawa kepada perkara negatif sebaliknya
amat diperlukan dalam isu penambakan laut.
"Sebagai pemimpin, kita tidak boleh membelakangkan suara rakyat.
Mengapa kami sebagai Adun yang dipilih rakyat, dikecam dan diserang
dengan pelbagai tohmahan selepas menyuarakan hak rakyat," katanya pada
sidang media di sini petang hari ini.
Sebagai wakil rakyat di kawasan Kebun Bunga, beliau berkata, Bukit Bendera adalah sebahagian dari kawasannya.
"Tindakan ini saya sifatkan sebagai salah kerana memecat wakil yang
dipilih rakyat. Ia seolah-olah menidakkan hak pengundi saya yang mahu
wakil mereka berada dalam perbadanan itu bagi menyuarakan pandangan,"
katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan menandatangani surat pemecatannya kerana berpendapat tindakan itu menyalahi undang-undang.
"Ia satu kesilapan besar dan kemungkinan menyalahi undang-undang. Saya tidak akan menandatangani surat pemecatan itu.
"Tambahan pula, saya tidak diberitahu terlebih dahulu bahawa sudah
dipecat sehingga diberitahu ketika mahu menghadiri mesyuarat sebelum
Tahun Baru Cina.
"Saya mahu bertanya beberapa soalan, adakah salah jika saya menyuarakan
pendapat rakyat? Adakah salah jika saya minta untuk mengadakan sesi
taklimat awam berhubung isu penambakan laut," katanya.
Kah Peng juga hairan kerana meminta kerajaan negeri dan pemaju untuk
memberi penjelasan lebih lanjut berhubung projek penambakan laut , ia
dianggap satu kesalahan besar.
"Adakah perlu beberapa ahli politik bertindak begitu dramatik apabila
kami sebagai Adun pilihan rakyat bertanya soalan berhubung pajakan tanah
dalam sidang Dun? Bukankah sidang Dun satu platform untuk wakil rakyat
mengetengahkan soalan rakyat terhadap kerajaan negeri," katanya.
Menjawab soalan berhubung dakwaan kononnya Chin Wen dan empat Adun PKR
menyasarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I yang kini dipegang Mohd
Rashid Hasnon, Kah Peng berkata, ia satu penipuan dan tidak masuk akal.
"Ia tidak benar sama sekali. Bagaimana dakwaan ini boleh dibuat
sedangkan kami hanya menyuarakan pendapat berhubung kepentingan awam?
Saya menafikan dakwaan itu kerana ia tidak masuk akal sama sekali.
"Kami tidak pernah mempunyai niat itu, apa yang kami pentingkan adalah hak rakyat dalam penambakan laut," katanya.
Menurutnya, tanah di negeri ini adalah hak rakyat dan kerajaan negeri hanya sebagai pemegang amanah.
Untuk itu, jika kerajaan negeri mahu menggunakan tanah awam, maka rakyat perlu diberitahu.
"Ingin saya tegaskan bahawa tiada siapa pun yang boleh mengawal saya
untuk melakukan perkara yang betul malah tiada siapa boleh mengarahkan
saya melakukan perkara yang menyalahi undang-undang," katanya.
Ditanya mengapa tidak berjumpa dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk
menerangkan perkara sebenar, Kah Peng berkata, tidak pernah diberi
peluang untuk berbuat demikian.
"Saya dan rakan-rakan lain hanya menjalankan tugas berdasarkan amalan
kerajaan negeri iaitu cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), namun kami
dihentam teruk. Saya tidak faham mengapa kami difitnah dan dikecam
dengan begitu teruk.
"Bagaimana saya nak jumpa dengan orang yang kecam saya dengan begitu
teruk? Bagaimana saya mahu bersemuka dengan individu yang menggelar saya
dengan bermacam-macam perkataan tidak elok," katanya.
Tambahan pula, beliau tidak pernah dijemput oleh mana-mana pihak dari
kerajaan negeri untuk berbincang perkara itu sebaliknya hanya mengetahui
melalui media.
Terdahulu, Kah Peng dan Chin Wen dari PKR Pulau Pinang yang tidak
mengundi usul berkaitan penambakan tanah yang dibentangkan Adun BN
November lalu ditamatkan khidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan
negeri (GLC).
Chin Wen dipecat dari jawatan pengarah di Penang Invest and Island Golf
Properties Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)
manakala Kah Peng sebagai pengarah Perbadanan Bukit Bendera.
Mereka adalah antara lima pemimpin PKR yang tidak mengundi terhadap
usul untuk diadakan pendengaran awam bagi penambakan tanah dan
penangguhan semua pelan penambakan sehingga kajian impak laut, alam
sekitar dan sosial dilaksanakan.
Tiga lagi Adun PKR ialah Dr Norlela Ariffin (Penanti), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).
0 orang berkata:
Post a Comment