Gantung TSMY: Najib tidak mahu terlibat dalam perbincangan
KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan
terlibat dalam perbincangan ahli Majlis Tertinggi (MT) dan memutuskan
keputusan untuk menggantung jawatan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata,
sebelum keputusan sepakat dicapai, kesemua Ahli MT Umno terpaksa melalui
satu proses perbincangan yang panjang.
“Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga keluar sewaktu perbincangan berlangsung.
“Kami berbincang sesama kami semua dan setiap orang bercakap dari hati
ke hati,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat MT Umno, hari ini.
Petang tadi, MT Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa hari ini serta merta.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Muhyiddin digantung serta-merta]
Mengulas isu sama, Annuar menambah, keputusan yang diambil adalah berat
tetapi perlu dilakukan demi mengukuhkan parti untuk berdepan PRU akan
datang.
Katanya, tindakan tersebut diambil kerana Muhyiddin gagal membantu
Najib sebagai Presiden Umno seperti yang telah ditetapkan dalam Perkara
9.8.2.1 Perlembagaan Umno.
“Tugas Timbalan Presiden (Muhyiddin) adalah membantu Najib (Presiden)
“Jadi apabila didapati tidak membantu, maka sebagai sebuah parti yang
menjalankan peranan dan tanggungjawab kena ambil tindakan,” katanya
lagi.
Annuar turut mengingatkan bahawa tindakan seumpama itu bukan kali pertama diambil oleh Umno.
“Keputusan yang sama pernah dibuat pada 1998 oleh Tun Mahathir Mohamad
(bekas Presiden Umno) kepada bekas Timbalannya (Datuk Seri Anwar
Ibrahim) yang selepas itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ambil alih tugas
sebagai Timbalan Presiden Umno," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment