Isu Muhyiddin: Salleh serah pada MT
SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh
Said Keruak menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Ahli Majlis
Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada petang ini berhubung tindakan yang
akan dikenakan ke atas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Menurutnya, walau apapun keputusan yang dicapai pada petang ini, setiap
pihak perlu menerima dan menghormati tindakan yang akan dikenakan ke
atas bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
“Pada saya,jika berlaku hal seperti ini, kita perlu serahkannya kepada
Majlis Tertinggi untuk membincangkannya dan apa jua keputusan yang
dicapai harus dihormati oleh setiap pihak,” katanya selepas merasmikan
Karnival Karangkraf 2016, di Kompleks Kumpulan Media Karangraf hari ini.
Salleh berkata, parti berhak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana
pihak tanpa mengira kedudukan sekiranya mereka membuat sebarang
kesalahan antaranya dalam aspek disiplin.
“Setiap ahli perlu memberikan perhatian terhadap kepentingan parti
memandangkan ia merupakan antara aspek yang penting. Apa jua keputusan,
kita serahkan pada Majlis Tertinggi yang akan bermesyuarat pada petang
ini,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin dilihat lantang menyuarakan kritikan terhadap
kerajaan melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
sehingga beliau dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Umni, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz turut menggesa supaya Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai
Timbalan Presiden Umno sekiranya tidak sehaluan dengan Perdana Menteri.
0 orang berkata:
Post a Comment